• Mahfuz Omar Mahfuz Omar
1 / 1
KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar menyeru kepada 92 Ketua Umno Bahagian yang bersolidariti mempertahankan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya bangun dari lamunan kepura-puraan.

"Sepatutnya mereka berhimpun di depan pejabat perdana menteri tuntut harga barang dan tarif elektrik diturunkan.

"Kerana bagi saya kalau ikut hujah menteri kena boikot peniaga jadi kena boikot kerajaan kerana yang bertanggungjawab turun harga kawalan ialah kerajaan bukan peniaga,” katanya ketika sidang media di Pejabat Agung Pas, hari ini.

Katanya, sehingga ke hari ini, kerajaan tidak pula menyatakan hasrat untuk menurunkan harga barang di bawah kawalan mereka.

"Adakah ini bermakna 92 bahagian Umno ingin turut menyeru rakyat agar memboikot kerajaan Malaysia pula?

Oleh itu saya tegaskan sekali lagi peri pentingnya para pemimpin Umno bahagian itu menyatakan sokongan dengan berlandaskan fakta," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan 92 pemimpin Umno bahagian  daripada pelbagai negeri yang menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan yang dikeluarkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Terdahulu Ismail Sabri, sebelum ini dalam satu kenyataan Facebooknya menyeru supaya pengguna memboikot peniaga dan pemborong Cina yang enggan menurunkan harga barang walaupun harga minyak telah diturunkan kerajaan.