• Lim Guan Eng Lim Guan Eng
1 / 1
GEORGETOWN - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan PR Ahad ini bagi membolehkan sebarang keputusan berhubung isu-isu berbangkit dibuat secara kolektif.

Guan Eng berkata, pihaknya sedia berbincang perkara-perkara bernas yang melibatkan kepentingan rakyat berdasarkan fakta.

"Di sini saya rasa pendirian DAP amat jelas dan yang paling penting adalah menyelesaikan perkara berbangkit berdasarkan fakta dan bukan fitnah," katanya.

Beliau berkata tanpa kehadiran Presiden Pas, mesyuarat itu tidak dapat diteruskan kerana Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) telah menetapkan bahawa semua keputusan harus dibuat secara kolektif dengan kehadiran semua pemimpin PR.  

"Kami mendapat jaminan Hadi akan datang, jika tidak mesyuarat tidak diteruskan," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai mesyuarat PR yang dijadual  Ahad ini.

Konflik antara DAP dan Pas mula timbul apabila isu pilihan raya kerajaan tempatan dan pelaksanaan hukum hudud, yang masing-masing diperjuangkan oleh DAP  dan Pas, telah mencetuskan perbalahan antara dua parti gabungan PR itu.

Akhbar sebelum ini melaporkan Mustafa mencabar Guan Eng bersemuka berikutan dakwaan Guan Eng bahawa beliau (Mustafa) tidak jujur dalam isu pelaksanaan pilihan raya PBT.

Ditanya sama ada beliau mungkin berasa kekok untuk bertemu pemimpin Pas, Guan Eng menegaskan bahawa tidak akan ada kejanggalan kerana pemimpin DAP  berkata benar berdasarkan fakta.

Terdahulu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang melancarkan projek menaik taraf jejantas pejalan kaki di persimpangan Jalan Penang/Jalan Burmah/Jalan Dr Lim Chwee Leong di sini.

Projek bernilai RM6 juta yang ditaja syarikat swasta itu bermula hari ini dan dijangka siap dalam tempoh sembilan bulan  dan apabila siap, jejantas itu akan dilengkapi kemudahan lif dan tangga bergerak. - Bernama