• Muhammad Khalil Abdul Hadi Muhammad Khalil Abdul Hadi
1 / 2
SHAH ALAM  - "Sesiapa yang mahu hidup di tempat yang tidak melaksanakan hukum hudud dipersilakan dengan syarat jangan hidup di bumi ALLAH", demikian kenyataan terbaru Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Memuat catatan itu di laman sosial Facebooknya, Muhammad Khalil menambah, bumi ini adalah milik ALLAH SWT dan makhluk yang menghuni perlu mengikut peraturan sang penciptanya.

"Bumi ini adalah milik ALLAH kenapa kita nak hidup dan tak mahu ikut peraturan ALLAH.

“Pelik dan ajaib! Sama seperti orang tumpang berteduh di rumah kita tiba-tiba tak nak ikut cakap tuan rumah,” tulisnya.

Tegasnya, pelaksanaan hudud ini tidak boleh diukur hanya dengan akal semata-mata malah pertambahan kes jenayah di negara ini berlaku ekoran masyarakat sudah tidak menghormati undang-undang sedia ada.

“Jangan kita mengukur pelaksanaan hukum hudud dengan akal semata-mata. Kita tak fikir bila dilaksanakan hukum hudud masyarakat akan hormat dan jenayah berkurang.

“Banyaknya jenayah pada hari ini bukan kerana tidak ada undang-undang tetapi masyarakat sudah tidak menghormati undang-undang yang sedia ada kerana ia tidak menggerunkan penjenayah untuk melakukan jenayah,” katanya.

Mesyuarat PR yang berlangsung semalam tidak menyelesaikan kemelut dalaman PR yang berlaku antara DAP dan Pas ekoran DAP tetap menolak pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Lebih menjadi tanda tanya, sidang media selepas mesyuarat perikatan itu tidak disertai Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.