• Khalid Abu Bakar Khalid Abu Bakar
1 / 1
SHAH ALAM - Polis akan memanggil Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang ini bersabit kenyataannya tentang isu boikot peniaga Cina.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Ismail Sabri akan disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang membangkitkan rasa kegusaran di kalangan masyarakat.

"Kita akan berjumpa beliau petang ini, Insya-ALLAH untuk merakam ucapan," beliau dipetik sebagai berkata pada sidang media selepas merasmikan Smart Library di Markas PDRM Cheras, pagi ini.

"(Kita) dah setuju, cuma kita sedang aturkan masa kerana hari ini mesyuarat Kabinet, jadi bagi peluang pada menteri dan pegawai lain bermesyuarat," katanya lagi.

Ahad lalu, Ismail Sabri dalam status Facebooknya meminta pengguna Melayu memboikot perniagaan Cina supaya mereka boleh menekan harga barangan menjadi lebih rendah.

Bagaimanapun beliau kemudiannya memberikan penjelasan berhubung perkara itu yang bukanlah merujuk kepada peniaga Cina secara keseluruhannya tetapi kepada tauke-tauke yang terus berdegil hendak mengaut keuntungan.