• Dr Suleiman Mohamad Dr Suleiman Mohamad
1 / 1
SHAH ALAM - Majlis Pemikir Muda (Pemikir) mempertahankan sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Pertanian Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri yang menyelar golongan pemborong dan peniaga   tamak dengan tidak menurunkan pelbagai harga keperluan dan barangan walaupun kadar harga petrol  sudah turun.

Pengerusinya,  Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed mendakwa, selama ini kuasa pemborong dan peniaga berada dalam tangan bangsa Cina dan apa yang dibuat oleh Ismail Sabri sangat tepat memandangkan  beliau tujukan perkara itu terus kepada pihak bertanggungjawab.

Katanya, isu pedagang dan pembekal  barang keperluan yang memang kebanyakannya  dimonopoli  kaum Cina mesti diselesaikan dengan tegas dan cepat kerana rakyat tidak mendapat manfaat daripada penurunan harga barangan serta keperluan.

“Dalam hal ini tidak ada unsur perkauman. Ini adalah isu pedagang dan pembekal. Dan memang kebanyakannya adalah bangsa Cina. Adakah usaha mendesak  pembekal Cina menurunkan  harga barangan mereka itu dianggap perkauman?

“Ini usaha yang memang perlu dibuat oleh seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan rakyat dan pengguna melebihi kepentingan peribadi. Ismail Sabri pastinya tahu risiko yang bakal diambil tetapi beliau lakukan itu demi kepentingan semua rakyat.

“Jika pemborong atau peniaga ini akur untuk menurunkan harga barangan mereka, pastinya semua pengguna termasuk yang berbangsa Cina , India dan lain-lain kaum akan menikmati kebaikannya, “ katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan membuat kenyataan berkaitan boikot peniaga Cina yang menjadi viral di laman sosial.

Beliau berkata, kenyataan yang dibuat sebenarnya bertujuan meminta rakyat menggunakan kuasa dan hak mereka sebagai pengguna bagi menekan peniaga yang mengaut keuntungan berlebihan.

ARTIKEL BERKAITAN: [ Ismail Sabri perjelas isu boikot peniaga]

Sementara itu, Dr Suleiman menambah, Pemikir Muda tetap berdiri teguh di belakang Ismail Sabri dalam hal ini.

“Tindakannya bukan membuta tuli. Dia berani menyatakan kebenaran.

“Ini kerana usaha dan  teguran keras yang beliau lakukan adalah untuk manfaat semua rakyat, tidak mengira bangsa, agama dan kedudukan,” katanya lagi.