Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

MAHKAMAH TIADA BIDANG KUASA, DIMANA KELEMAHAN SYARI'AH ?

Qazaf: Mahkamah Tinggi Syariah tolak permohonan Anwar
Anwar vs Shafee

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulakan prosiding qazaf terhadap peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa memfitnah beliau berhubung kes liwatnya.

Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar memutuskan sedemikian selepas mendapati mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut berikutan perbuatan liwat tidak termasuk dalam kesalahan qazaf.

Pada 26 Jun tahun lepas, bekas ketua pembangkang itu memfailkan aduan qazaf di bahagian penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melalui isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, yang juga Presiden PKR.

Muhammad Shafee didakwa menuduh Anwar melakukan liwat dengan bekas pembantu peribadinya Saiful Bukhari Azlan tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh (Anwar) sepertimana diwajibkan oleh undang-undang.

Dalam aduan itu, Muhammad Shafee didakwa mengeluarkan kenyataan tersebut dalam program dialog terbuka anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein di Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 17 Februari tahun lepas.

Menurut aduan berkenaan, Mazhab Imam Syafie berpandangan bahawa kesalahan liwat adalah diqiyaskan termasuk di bawah kategori zina di mana tuduhan terhadap kesalahan liwat tanpa empat orang saksi merupakan satu jenayah qazaf.  

Hakim Mohamed Fouzi ketika membacakan penghakiman setebal 21 muka surat itu berkata, terdapat perbezaan pendapat sama ada kesalahan meliwat boleh dimasukkan bawah kategori zina atau sebaliknya.

Beliau berkata badan perundangan Selangor telah memasukkan kesalahan qazaf di dalam Seksyen 36 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, namun perkataan 'zina' yang disebut di dalam peruntukan itu (Seksyen 36) telah ditafsirkan sebagai persetubuhan antara lelaki dengan perempuan tanpa nikah sahaja tanpa memasukkan perbuatan liwat di dalamnya.

"Persoalannya, adakah tuduhan melakukan perbuatan liwat tersebut juga boleh ditafsirkan sebagai zina berdasarkan pandangan ulama? Secara umumnya, ulama berbeza pendapat berkaitan isu ini yang mana sebahagian besar ulama menyatakan perbuatan liwat tersebut adalah termasuk zina.

"Mahkamah ini berpendapat ketiadaan perbuatan liwat dimasukkan ke dalam tafsiran zina adalah disebabkan pemilihan satu pendapat di antara beberapa pandangan tersebut. Pandangan yang diambil oleh penggubal dalam membina tafsiran zina adalah berdasarkan pandangan Imam Abu Hanifah yang menyatakan bahawa perbuatan liwat bukanlah qazaf bahkan ia kesalahan takzir dengan alasan kedua-dua adalah perbuatan yang berbeza," katanya.

Ini jelasnya, penggubal undang-undang sememangnya tidak membuat sebarang kesilapan apabila membuat tafsiran sedemikian kerana penggubal telah memilih untuk menerima pakai pandangan yang dirasakan bersesuaian dengan keadaan semasa masyarakat di negara ini walaupun bukan berdasarkan pandangan Mazhab Syafie.

Mohamed Fouzi berkata, mahkamah tidak menafikan bahawa pandangan yang diambil menjadi undang-undang itu merupakan pandangan yang minoriti, namun apabila ianya telah diterima sebagai undang-undang maka ia menjadi kuat dan hendaklah diterima pakai.

Sama ada mahkamah boleh meluaskan tafsiran zina tersebut, beliau berkata, kuasa seseorang Hakim Syarie pada masa ini tertakluk kepada bidang kuasa yang telah diperuntukkan kepadanya.

"Jika mahkamah memutuskan kes yang bukan berada dalam bidang kuasa atau menyalahtafsirkan sesuatu peruntukan boleh menyebabkan keputusan mahkamah tersebut tidak sah dan perintah itu tidak boleh dilaksanakan," katanya.

Tambah beliau, bukan sahaja tafsiran zina perlu diperluaskan bagi menjaga maruah seorang individu, namun keseluruhan perkara berkaitan Mahkamah Syariah termasuklah kedudukan dan undang-undang hendaklah diperkukuhkan bersesuaian dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan tanggungjawab mahkamah untuk berbuat demikian tetapi ia adalah amanah dan tanggungjawab badan perundangan di peringkat negeri atau Parlimen.

Mohamed Fouzi seterusnya berkata, sama ada mahkamah mempunyai alasan mencukupi untuk meneruskan tindakan qazaf ke atas Muhammad Shafee berdasarkan aduan yang dibuat oleh Anwar, mahkamah berpendapat di peringkat ini, aduan yang dibuat tidaklah seberat membuktikan seseorang itu bersalah dalam melakukan sesuatu perbuatan.

"Ini bermakna, pengadu (Anwar) hendaklah membuktikan sehingga timbulnya syak bahawa wujud perbuatan yang menjurus kepada satu kesalahan untuk membolehkan aduannya diterima dan saman boleh dikeluarkan kepada Muhammad Shafee. Walaupun aduan pengadu disokong dengan beberapa bukti dokumen dan saksi, namun pengadu telah gagal memenuhi elemen membabitkan bidang kuasa mahkamah.

"Pengadu juga gagal memenuhi elemen-elemen lain yang ditetapkan oleh undang-undang. Mahkamah mengakui bahawa berkata benar itu pahit namun yang pahit itu hendaklah ditelan kerana ia adalah hakikat dan realiti yang perlu diterima," katanya.

Mohamed Fouzi kemudian menolak aduan Anwar itu berdasarkan Seksyen 76 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003. - Bernama

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.