• Shamsul Amri Shamsul Amri. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
1 / 1
SHAH ALAM – 25 Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang akan dipilih oleh akar umbi, adalah kunci kepada survival parti utama BN itu, di masa akan datang.

Malah, peranan MT ini dilihat dominan dan jauh lebih besar  berbanding tiga naib presiden mahupun sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri.

Teori ini diberikan sendiri oleh Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Kebangsaan (MPN), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin yang berpendapat, Umno perlu memilih calon yang terbaik untuk mengisi jawatan MT.

“Inilah percaturan baru yang wujud dalam Umno, di mana perlembagaan dan peraturan parti itu mengatakan mereka berhak memilih dan menentukan calon yang akan menganggotai jawatan MT.

“Kuasa ini wujud secara automatik dan menjadi satu platform untuk memilih siapa yang layak untuk menduduki jawatan MT,” katanya pada Majlis Diskusi Buku ‘Memacu Transformasi’, di Auditorium Karangkraf, semalam.

Turut hadir bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Penasihat Sosial Masyarakat India Malaysia, Dr Vijay Shanmugam dan Bekas Pengerusi Perhubungan Kelab Umno Luar Negara-Australia/New Zealand, Izhar Moslim.

Beliau turut mengambil contoh pada zaman bekas presiden Umno, Tun Abdullah Ahmad Badawi berlakunya perubahan baru di mana ahli MT mempunyai pengaruh besar dalam menentukan hala tuju parti.

"Jika kita lihat pada zaman Tun Abdullah tidak pernah dalam sejarah presiden disingkirkan dalam Umno, jika anda lihat komposisi ahli MT presiden, timbalan presiden, naib presiden dan juga sayap parti pun beliau (Abdullah) tidak boleh menang.

"Apa maknanya, pada saya berlaku perubahan kuasa yang kini dipegang oleh ahli MT. Sebenarnya kuasa di tangan mereka," katanya.

Beliau berkata, dalam sistem pemilihan Umno yang baru ini, hanya calon yang mempunyai kuasa sahaja berpeluang untuk mendapatkan sokongan dan berpeluang memiliki pengaruh dalam parti.

“Siapa yang memiliki kuasa, mereka akan memiliki banyak peluang di mana mereka akan mengambil kesempatan yang ada untuk berkempen bagi mendapat sokongan.

“Untuk mereka yang tidak memiliki kelebihan seperti itu, kita tidak tahu sejauh mana mereka boleh lakukan perkara yang sama,” katanya.

Pada pemilihan Umno tahun ini, seramai 62 calon menawarkan diri untuk jawatan MT. Kebanyakannya adalah penyandang sedia ada selain beberapa muka baru yang sekarang ini memegang portfolio menteri atau timbalan menteri dalam kerajaan.

Seramai 33,942 calon layak bertanding di peringkat pusat dan bahagian serta ketiga-tiga sayap parti. Senarai calon yang layak bertanding bagi semua peringkat pada pemilihan Umno bulan depan.

Pengundian bagi pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat bahagian dan pusat akan  berlangsung pada 12 Okt manakala pengundian bagi bahagian dan Majlis Tertinggi pada 19 Oktober.

Dijangka lebih dari 146,500 perwakilan akar umbi mengambil bahagian mengundi pada pemilihan kali ini berikutan pindaan perlembagaan parti pada 2009.