• Paul Low Paul Low
1 / 1
ALOR SETAR - Kabinet telah meluluskan penubuhan pasukan pemantau bagi projek bernilai RM500 juta ke atas, tanda kerajaan serius dalam soal integriti dan pembanterasan rasuah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan.
 
Beliau berkata selain penubuhan pasukan itu, usaha meningkatkan kebekesanan Biro Pengaduan Awam (BPA) turut dilaksanakan antaranya melatih semula pegawai dan meletak pegawai-pegawai terbaik dalam agensi itu.
 
"Kita perlu berhati-hati dengan projek-projek besar kerana banyak kebocoran boleh berlaku," katanya dalam ucapan pada majlis penutupan Wacana Integriti Ke Arah Budaya Politik Sihat dan Demokratik Bersama Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Kedah, hari ini.
 
Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir menutup wacana itu yang turut dihadiri wakil-wakil rakyat pembangkang di sini. Turut hadir Presiden Institut Integriti Datuk Dr Mohd Tap Salleh.
 
Menurut Low pasukan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) akan melawat semua negeri untuk menerangkan pelan integriti dan pembanterasan rasuah serta membantu syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melaksanakan urus tadbir baik.

"Saya yakin apabila tadbir urus kita bertambah baik dan kita mudah mesra, pelabur-pelabur akan senang untuk datang dan melabur di negara ini," katanya.
 
Beliau menasihati ahli politik dan wakil rakyat supaya lebih memahami isu rasuah dan urus tadbir baik kerana kajian yang dibuat menunjukkan majoriti golongan muda mengharapkan mereka memiliki nilai integriti yang tinggi.
 
"Transformasi yang dibuat ini cukup komprehensif dari barisan hadapan hingga peringkat tertinggi. Sebab itu kerajaan mahu menanam asas integriti yang mantap dalam diri setiap penjawat awam," katanya.
 
Low yang bertanggungjawab mengenai Integriti, Pembanterasan Rasuah dan Hak Asasi Manusia berharap Kedah menjadi model urus tadbir baik dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.
 
Dalam pada itu, Mukhriz menyambut baik idea penubuhan pasukan pemantau itu kerana ketirisan mungkin boleh berlaku yang akan menjejaskan kredibiliti kerajaan serta dipersoalkan oleh rakyat.

"Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan pusat agar pelan integriti yang dilaksanakan mencapai objektif," katanya.
 
Mengenai harapan Low agar Kedah menjadi model urus tadbir baik di negara ini, Menteri Besar berkata pihak kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Perdana Menteri mengenai cara melaksanakan tadbir urus baik untuk mencapai objektif itu.
 
Dalam ucapannya sebelum itu, Mukhriz berkata, kelalaian pemimpin dan rakyat kerana terlalu memberi fokus untuk mencapai matlamat negara maju boleh menyebabkan gejala negatif meresap dalam sistem nilai masyarakat.
 
"Rakyat beranggapan kadar jenayah, penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan remaja dan pencemaran alam sekitar meningkat. Ini tidak boleh dibiarkan kerana ia menghakis sistem-sistem nilai tersebut.
 
"Oleh itu setiap pemimpin harus menerima teguran dan pandangan rakyat dengan hati terbuka dengan menganggapnya sebagai sumbangan ke arah penambahbaikan
tugas-tugas yang dilaksanakan," katanya.  - Bernama