• Ahmad Zahid Hamidi Ahmad Zahid Hamidi
1 / 1
KUALA LUMPUR - Pindaan Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 perlu diluluskan walaupun ada pihak yang mahu ia ditangguh, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, pindaan rang undang-undang tersebut amat penting bagi memastikan pesalah yang ditahan dapat dibawa ke mahkamah.

"Perbahasan akan dibuat selepas saya melakukan pembentangan. Sebelum pindaan, meereka yang ditahan tidak dapat dibawa ke mahkamah.

"Maka, terdapat keperluan agar pindaan ini mesti diluluskan walaupun ada yang kata perlu ditangguh," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Ahmad Zahid, minggu lalu.

Manakala, bacaan kali kedua akan disambung hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan sentiasa terbuka menerima pandangan bagi menambah baik pindaan tersebut.

"Walaupun ada beberapa klausa yang diminta pihak pembangkang, NGO dan Majlis Peguam, kita akan teliti. Kami bersikap terbuka untuk meneliti beberapa perkara yang munasabah untuk dilakukan pindaan di peringkat jawatankuasa.

"Kepada pihak yang berkenaan, jangan tutup pintu dan kata kita tak  bersedia buat perbincangan," katanya.