1/10/13
Audit dedah polis hilang aset RM1.33 juta
KUALA LUMPUR - Laporan Ketua Audit Negara
hari ini mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kehilangan aset
bernilai RM1.33 juta, bermula 2010 hingga 2013.
Rekod Ketua Audit Negara menunjukkan PDRM kehilangan 309 unit aset meliputi gari, senjata api dan kenderaan.
Daripada jumlah itu, statistik kehilangan aset yang dikeluarkan Bahagian
Pengurusan Aset, Jabatan Logistik PDRM mendapati, aset yang paling
banyak hilang adalah gari dengan sejumlah 156 unit, diikuti senjata api
dan kenderaan dengan masing-masing sebanyak 44 dan 29 unit.
"Pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya pengurusan
aset di Ibu Pejabat PDRM dan tiga IPK yang diperiksa adalah kurang
memuaskan.
"Pengurusan aset yang yang tidak teratur dan bersistematik boleh
menyebabkan berlakunya kehilangan aset terutamanya senjata api dan gari
yang boleh mengancam keselamatan awam," dedah laporan Ketua Audit
Negara, Tan Sri Ambrin Buang.
Antara kelemahan yang ditemui audit berkenaan adalah kehilangan aset
lewat dikesan; kelewatan melapor kehilangan kepada Ketua Jabatan dan
Polis; Ketua Jabatan lewat menyediakan Laporan Awal Kehilangan Aset;
Jawatankuasa Penyiasat Kes kehilangan aset lewat ditubuhkan; dan
Jawatankuasa Kehilangan Aset lewat menyediakan Laporan Akhir.
Kelemahan lain termasuk soal pengurusan aset seperti Urus Setia
Kehilangan dan Hapus Kira lewat mengambil tindakan susulan; kelewatan
mengambil tindakan diperingkat kontinjen setelah kelulusan hapus kira
oleh Kuasa Melulus; Kelewatan mengambil tindakan surcaj; tempat
penyimpanan tidak selamat; dan ruang penyimpanan aset yang sempit dan
terhad.
Sehubungan itu, pihak audit mengesyorkan agar pasukan PDRM memastikan
pemeriksaan berkala dilaksanakan mengikut ketetapan supaya dapat
mengesan kes kehilangan aset berkenaan.
"Memastikan pematuhan kepada penetapan norma masa proses kerja hapus
kira aset supaya punca kehilangan dapat dikenal pasti segera.
"Memastikan kehilangan aset yang berpunca daripada kecurian, penipuan,
atau kecuaian pegawai atau anggota dikenakan tindakan surcaj atau
tatatertib supaya menjadi satu usaha pencegahan bagi mengawal kes
kehilangan," syor laporan audit. - SH
0 orang berkata:
Post a Comment