• Persidangan Dewan Rakyat membahaskan usul Tragedi Nahas Pesawat MH17 di Dewan Rakyat Parlimen hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM 
  •  Persidangan Dewan Rakyat membahaskan usul Tragedi Nahas Pesawat MH17 di Dewan Rakyat Parlimen hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
1 / 1
KUALA LUMPUR - Persidangan Khas Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Wee Ka Siong enggan menarik balik kenyataannya yang mengatakan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa Malaysia merasuah militan Ukraine untuk menyerahkan kotak hitam MH17.

Bagaimanapun Rafizi bangkit mempertahankan dirinya sambil menafikan dakwaan tersebut kerana ia adalah kenyataan palsu yang disebarkan di media sosial mengguna pakai akaun Twitter palsu beliau.

Rafizi meminta Ka Siong untuk menarik balik kenyataanya.


Tindakan Rafizi itu kemudiannya ditegur oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ronald Kiandee yang mengatakan arahan untuk menarik balik tuduhan itu hanya boleh dibuat oleh beliau dan bukannya Pengarah Strategi PKR itu.

Belum reda dengan tindakan tuduh-menuduh itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad turut bangkit mendesak Ka Siong menarik balik dakwaan itu.

Pertikaman lidah itu mengundang suasana tegang hampir lima minit ketika sesi perbahasan usul mengenai tragedi malang yang menimpa pesawat MH17 pada Persidangan Khas Dewan Rakyat di sini, hari ini.