Penjelasan isu penstrukturan air Selangor – Rafizi
Kebelakangan ini, ada beberapa tuduhan liar yang dilemparkan terhadap
saya dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim kononnya kami terlibat cuba campur
tangan dalam rundingan air untuk mendapat bayaran komisen dari pemegang
konsesi SPLASH. Tuduhan-tuduhan liar ini ada menyebut jumlah yang besar
kononnya melibatkan berpuluh-puluh juta.
Saya
tidak menjawab sebarang tuduhan sebegini sebelum ini sebagai
menghormati mandat Pakatan Rakyat yang diberikan kepada saya yang
menjadi salah seorang Panel Penstrukturan Air yang mewakili PR dan
menyelia Kerajaan Selangor dalam hal ini.
Saya masih berharap sebelum ini supaya sebarang perbezaan pendapat
mengenai kaedah proses penstrukturan air sewajarnya dibincangkan bersama
bukan melalui media.
Walau bagaimana pun, oleh kerana tuduhan liar itu melampaui batas dan
menjejaskan imej saya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan KEADILAN, saya
telah berbincang dengan beberapa pimpinan kanan KEADILAN dan PR sama ada
tuduhan-tuduhan ini wajar dijawab secara umum. Saya dinasihati supaya
memberi penerangan untuk membolehkan orang ramai tahu keadaan sebenar.
Bersama-sama ini saya sertakan nota penerangan mengenai penstrukturan
industri air Selangor yang saya tulis dan bentangkan kepada pimpinan
KEADILAN (dan beberapa pimpinan DAP dan PAS) pada akhir Februari 2014
iaitu seminggu selepas Kerajaan Negeri menandatangani Memorandum
Persefahaman (MOU) dengan Kerajaan Pusat.
Kebimbangan yang saya lahirkan dalam bulan Februari 2014 telah menjadi kenyataan iaitu:
1.Kerajaan Pusat engkar dengan kata-kata dan enggan melaksanakan
janji mereka menggunakan akta untuk menyempurnakan penstrukturan semula
2.Tarif air di Selangor akan naik mendadak dalam tahun yang dekat dengan pilihanraya umum
3.Kroni kuat Umno iaitu Tan Sri Rozalli Ismail akan menerima harga
tawaran Kerajaan Selangor kerana ia lumayan dan jauh mengatasi nilai
sebenar syarikatnya
4.Pemegang konsesi Loji Sg Selangor (yang merupakan loji terbesar
yang membekalkan kepada hampir 60% pengguna) iaitu SPLASH akan menolak
kerana harga tawaran awal dipotong oleh Kerajaan Selangor untuk jumlah
itu dibayar kepada Tan Sri Rozalli Ismail
5.Projek Langat 2 diteruskan dan kontrak diberikan kepada kroni-kroni
Umno sedangkan bayarannya nanti ditanggung oleh rakyat Selangor
6.Masalah bekalan air di Selangor berterusan hingga menimbulkan kemarahan rakyat terhadap Pakatan Rakyat
Selepas hampir 6 bulan, sehingga kini penstrukturan air tidak nampak
ada kemajuan di Selangor. Pelbagai kontroversi dan pertanyaan terus
timbul seperti yang saya akan terangkan selepas ini.
Perbezaan pendapat saya yang paling besar dengan Kerajaan Selangor
mengenai penstrukturan air ialah keputusan untuk membayar pampasan
keuntungan (disebut “equity portion”) kepada Tan Sri Rozalli Ismail
(melalui Syabas dan Puncak Niaga) sebanyak RM1.6 bilion sedangkan nilai
kedua-dua syarikat itu adalah hampir muflis.
Setelah bertahun-tahun rakyat Selangor sengsara dengan masalah air
yang sebahagian besarnya berpunca dari kelemahan Syabas dan Puncak
Niaga, Tan Sri Rozalli Ismail menerima ganjaran yang cukup besar yang
akan ditanggung oleh rakyat Selangor.
Bagi saya, keputusan itu tidak ada bezanya dengan keputusan Barisan
Nasional menghapuskan hutang Tan Sri Tajuddin Ramli sebanyak RM600 juta
atau campur tangan Tun Mahathir dulu agar syarikat perkapalan milik
anaknya Mirzan Mahathir diberi pampasan lebih tinggi oleh PETRONAS
sedangkan nilaian semasanya jauh lebih rendah.
Nota yang saya sertakan ditulis selepas mesyuarat di antara Tan Sri
Khalid Ibrahim dan wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk beliau
menjelaskan keputusan dan tindakan Kerajaan Selangor dalam isu air ini.
Saya berlapang dada di dalam bulan Ramadhan ini dengan fitnah
sebegini dan beranggapan ia adalah asam garam kehidupan seorang penjawat
awam. Saya tidak akan mengambil tindakan saman ke atas mereka yang
galak menyebarkan fitnah ini kerana saya yakin dosa yang mereka tanggung
melebihi apa-apa tekanan tindakan undang-undang yang boleh saya ambil.
Saya maafkan semua yang menyebarkan fitnah ini dan menasihati mereka
bertaubat dan berhenti menyebarkannya setelah saya menjelaskan dengan
fakta seperti di dalam nota.
Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan
Pengarah Strategi KEADILAN
0 orang berkata:
Post a Comment