Rabu, 2 Julai 2014
UM beritahu saya KPM paksa Redzuan disingkir, kata Saifuddin
Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah memberikan penjelasan terperinci mengenai mengapa beliau meletakkan jawatan daripada Universiti Malaya (UM) sebagai
solidariti kepada ketua pusat penyelidikan di universiti itu dengan berkata kebebasan akademik adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.
Saifuddin yang juga ahli Umno meletakkan jawatan sebagai felo penyelidik
kanan UM sebagai membantah arahan Kementerian Pendidikan agar Profesor
Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman meletakkan jawatan sebagai pengarah
Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel).
Walaupun UM semalam menafikan campur tangan dalam penyingkiran Redzuan,
Saifuddin yang mengetuai Pergerakan Kesederhanaan Global berkata
profesor itu diarahkan untuk meletakkan jawatan sebagai pengarah UMcedel
“kerana arahan sesetengah pihak di Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM)”.
Saifuddin
memberitahu The Malaysian Insider, beliau tahu mengenai campur tangan
kementerian berhubung jawatan Redzuan di pusat penyelidikan itu sejak
kira-kira dua bulan lalu.
"Saya tahu perkara ini sejak awal. Saya tahu Prof Redzuan dipanggil oleh
pengurusan universiti dan beliau dimaklumkan Kementerian Pendidikan
tidak begitu gembira dengan beliau dan diminta meletakkan jawatan," kata
bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu, sambil menambah beliau kemudian
mendapatkan pengesahan daripada naib canselor UM.
"Sepanjang pengetahuan saya, naib canselor dihubungi seseorang daripada
kementerian dan mesejnya adalah Redzuan tidak perlu terus memegang
jawatan pengarah UMcedel," katanya.
Beliau berkata, isu tertentu seperti pendidikan, memerangi rasuah dan
perpaduan tidak boleh dikompromi dan dalam kes ini, beliau sedar
perlunya berpendirian tegas.
"Apabila perkara seperti kualiti akademik dan kebebasan, ia adalah
beberapa perkara yang anda tidak boleh berkompromi. Anda perlu mengambil
pendirian," kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider.
"Ia juga adalah fundamental. Kita tidak boleh melihat perkara ini daripada perspektif partisan," katanya.
The Malaysian Insider melaporkan pada Isnin Kementerian Pendidikan
mengarahkan Redzuan meletakkan jawatan sebagai pengarah UMcedel,
manakala kontraknya sebagai dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial
(FSSS) di universiti itu juga tidak diperbaharui.
UMcedel menimbulkan kemarahan Putrajaya dengan pelbagai penemuan kaji
selidik terhadap politik Malaysia yang menunjukkan pemerintah Barisan
Nasional (BN) tidak berada dalam keadaan baik.
Bagaimanapun, Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin
menafikan kementerian mendesak Redzuan meletakkan jawatan, sambil
menambah keputusan menyingkir beliau dibuat selepas mengambil kira
kepentingan universiti itu, dan bukan disebabkan sebarang tekanan dari
luar.
"Keputusan itu dibuat selepas UM mengambil kira persaraan Prof Mohammad
Redzuan pada tahun depan, dan untuk memberi peluang kepada timbalannya,
Dr Amir Saifude Ghazali membiasakan dirinya dengan tanggungjawab seorang
pengarah sebuah badan penyelidikan bebas," katanya.
Saifuddin yang juga alumni UM berkata, beliau sedih dengan berita itu
dan selepas tempoh Redzuan sebagai dekan bagi FSSS juga tidak
diperbaharui, beliau mengambil keputusan turut meletakkan jawatan.
"Saya berfikir, ‘mengapa ini berlaku lagi?’ dan 'apa yang salah dengan sistem kita?'
Beliau merujuk kepada kes sebelum ini yang melibatkan campur tangan
Putrajaya dalam akademik, termasuk penggantungan pakar undang-undang
Perlembagaan, Dr Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM) kerana mempersoalkan dekri Sultan Selangor dalam serbuan di Pusat
Methodist, Damansara Utama pada Oktober 2011.
"Ia tidak mengapa bagi UIAM untuk menyiasat beliau. Itu adil dan
sebahagian daripada tadbir urus. Tetapi sebelum polis selesai
menjalankan siasatan mereka, beliau digantung dan tidak dibenarkan
memasuki kawasa kampus.
"Beliau bukan penjenayah. Ia seolah-olah beliau sudah didapati bersalah," katanya.
Saifuddin, yang ketika itu timbalan menteri pengajian tinggi
mempertahankan Aziz dan mendesak universiti membatalkan arahan itu.
Beliau kemudian tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam forum UIAM.
Beliau bagaimanapun berkata, tidak akan meninggalkan Umno dan BN yang membentuk kerajaan pemerintah.
"Tidak, saya tidak fikir begitu. Saya sentiasa percaya tidak ada dalam Umno atau BN yang tidak boleh dibetulkan.
"Saya faham kita perlu mengikut pendirian parti. Tetapi ada beberapa
perkara yang begitu dekat dengan saya seperti perihal pendidikan. Jika
kejadian seperti ini berlaku, anda tidak boleh mengikut sahaja pendirian
parti," katanya yang juga merupakan ahli Majlis Perundingan Perpaduan
Negara.
0 orang berkata:
Post a Comment