Tuesday, July 1, 2014
Spiderman Malaysia Panjat Bangunan 36 Tingkat
Lelaki warga tempatan (tengah) yang menimbulkan kekecohan apabila memanjat bangunan NU Central di Brickfield, semalam.
KUALA LUMPUR 30 Jun - Jika sebelum ini negara pernah digemparkan dengan aksi Spiderman Perancis, Alain Robert yang berjaya memanjat Menara Berkembar Petronas tanpa menggunakan kelengkapan memanjat, kali ini seorang lelaki warga tempatan pula melakukan aksi sama di bangunan 1 Sentrum setinggi 36 tingkat di Brickfields, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, lelaki berusia 26 tahun itu bertindak memanjat bangunan pusat komersial tersebut dengan hanya memakai sandal, baju T , berseluar pendek hitam, menutup muka dengan sapu tangan, memakai beg sandang berwarna biru dan kamera lasak.
Ketika sampai di tingkat paling atas dia sempat mengibarkan bendera Malaysia sebelum ditahan polis. Lelaki itu kemudian dibawa ke Balai Polis Travers untuk siasatan lanjut dan dibenarkan pulang hari ini.
Lelaki 'Spiderman' yang memanjat bangunan 1 Sentrum di Brickfield, Kuala Lumpur sebelum ditahan oleh pihak polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu.
Menurut beliau, lelaki itu mendakwa ingin menjadi orang pertama memanjat bangunan tersebut selepas mendapat maklumat ada peserta daripada luar negara mahu berbuat demikian dalam tempoh terdekat ini.
"Lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 14 Akta Undang-Undang Kecil dan selepas keterangannya diambil kita benarkan dia dijamin," kata beliau.
Sementara itu, video serta gambar aksi lelaki itu turut dimuat naik di akaun Facebook bernama Keow Wee Loong (UglyKiwi) yang dipercayai miliknya.
Berdasarkan status yang dipercayai dimuat naik oleh lelaki terbabit, dia memberitahu hanya sempat memaparkan ucapan selamat menyambut Ramadan kepada umat Islam serta ucapan selamat kepada bekas model, Felixia Yeap yang bakal memeluk Islam pada 5 Ramadan ini ketika berada di puncak. Ucapan itu ditulis di atas dua helai kertas A4.
Pada 1 September 2009, Robert yang terkenal dengan kebolehannya menakluk bangunan pencakar langit tanpa bantuan kelengkapan memanjat, ditahan kerana memanjat Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat itu tanpa permit.
Bloglist Malaysia
0 orang berkata:
Post a Comment