• Contoh model CB90 yang dilaporkan terputus hubungan dengan KD Paus ketika dalam perjalanan ke Pulau Layang-layang semalam. Contoh model CB90 yang dilaporkan terputus hubungan dengan KD Paus ketika dalam perjalanan ke Pulau Layang-layang semalam.
1 / 1
KOTA KINABALU - Bot tempur CB204, yang ditemui kira-kira 30 batu nautika ke timur Pulau Layang-Layang, akan dibawa ke stesen peninjau terdekat di Gususan Semarang Peninjau, Pulau Layang-Layang.

Sumber Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di Sepanggar berkata, bot tempur itu dikesan selepas komunikasi sehala antara pasukan mencari dengan anak kapal bot berkenaan pada 4.15 petang tadi.

Beliau berkata, kesemua tujuh anak kapal bot itu disahkan selamat selepas komunikasi dua hala pada 4.45 petang.

Katanya, bot berkenaan didapati mengalami masalah pada enjin dan stering.

Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, KD Ganas berjaya merapati CB204 jam 7.12 petang tadi bagi menyerahkan makanan kepada kru yang kelaparan.

"Bot akan ditunda oleh KD Lekiu yg dijangka tiba di lokasi tengah malam ini.

"Jarak daripada Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) ialah 129 batu nautika dan akan mengambil masa 23 jam," katanya dalam laman Twitter miliknya semalam.

Tujuh anak kapal bot itu ialah Let Azri Bakar, BK PAP Charles Cristopher Muni, BM TMK Ince anak Ewin, BM TMK Steven Hudson anak Miso, BM JTP Nor Azuan Ariffin, LK KOM Sulhajji Daah dan LK I PAP Azhry Maani.

Bot tempur itu, yang diketuai Azri, terputus hubungan dengan kapal pengiring KD Paus semasa dalam perjalanan ke Stesen Lima TLDM di Terumbu Layang-Layang, Sabah pada pagi semalam.

Terdahulu, Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar memberitahu sidang akhbar di sini, bot tempur berkenaan belayar dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 5 pagi semalam untuk melaksanakan penggiliran tugas dengan bot yang beroperasi di Gugusan Semarang Peninjau sebelum terputus hubungan  komunikasi radio dengan KD Paus pada 11.15 pagi.

Berikutan kejadian itu, katanya TLDM menghantar KD Lekiu, KD Ganas, KD Serang dan dua aset milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu KM Berani dan KM Mabul untuk operasi mencari dan menyelamat bot  tempur berusia 14 tahun itu berdasarkan empat sektor yang ditetapkan.

Menurutnya semasa bot tempur itu memulakan perjalanan, selepas mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP), cuaca dalam keadaan baik.

Mohammad Rosland berkata, namun keadaan cuaca bertukar buruk dengan ombak setinggi antara 3.5 meter dan 5 meter ketika berada di kawasan perairan Pulau Mengalum.

"Pada 10.30 pagi, KD Paus yang mengiringi CB204 memohon kepada pegawai staf operasi untuk berpatah balik dan kita mengarahkan KD Paus berpatah balik. Bagaimanapun, KD Paus terputus komunikasi dengan CB204,"  katanya.

Menurutnya, TLDM kemudian mengarahkan KD Paus mengesan lokasi bot tempur itu selain memaklumkan kejadian kepada semua lima stesen peninjau di Gugusan Semarang Peninjau dan lapangan carigali minyak Petronas. - Bernama