• Phahrolrazi Zawawi Phahrolrazi Zawawi
1 / 1
KOTA BHARU - Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) menyambut baik cadangan supaya ruang diskusi antara Pas dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dibuka bagi mewujudkan persefahaman antara gerak kerja yang dijalankan.

Presidennya, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, pihaknya mengalu-alukan perbincangan bagi menjelaskan lagi matlamat dan gerak kerja Pasma yang disalah erti sesetengah pihak.

“Pasma sebuah NGO yang diwujudkan khas kepada penyokong PR, PKR dan DAP menyambut baik gerak kerja kita, namun Pas, hanya sebahagian dan sesetengah tempat sahaja menerima kewujudan kami.

“Apabila ada perbincangan nanti, kita harap akan ada satu hasil yang positif mengenai gerak kerja Pasma dan insya-ALLAH akan memberi manfaat kepada PR,” katanya kepada media ketika menghadiri Majlis Dialog Bersama Presiden Pasma anjuran NGO Pakatan Setia di sini, semalam.

Phahrolrazi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang mencadangkan agar ruang diskusi antara Pas dan Umno dibuka bagi menyelesaikan kekeliruan dihadapi ahli parti.

Mengakui wujud salah faham terhadap gerakan yang diterajui ini, Phahrolrazi berkata, ia (salah faham) berlaku apabila ramai membuat kenyataan hasil maklumat daripada pihak lain tanpa mendapat penjelasan daripada Pasma.

Sementara itu, Phahrolrazi berkata, beliau bersedia mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menjelaskan tentang gerak kerja dan matlamat Pasma.

“Saya bersedia sekiranya dijemput oleh mana-mana parti pun untuk memberi penjelasan, yang menjadi masalahnya mereka sudah mengeluarkan pandangan yang agak negatif, sedangkan sepatutnya ia ada penjelasan dalaman tak perlu keluarkan kenyataan media, kerana
kita pun dari Pas juga, bukan orang luar,” katanya.

Mengulas mengenai Pasma Kelantan, Phahrolrazi berkata, keahlian di Kelantan sudah menyeluruh namun jumlah tempat masih belum diperolehi kerana proses pendaftaran keahlian sedang berjalan.