Monday, October 27, 2014
Kenapa Anwar wajib dipenjara - Hishamuddin Rais
Bacalah
surah yang aku bawa ini. Surah ini bukan warita orang-orang dahulu kala -
warita orang kini jua. Aku membawa surah surah songsang untuk tatapan
kita semua. Tuan Pembaca yang budiman jangan terasa hati. Jangan merasa
marah. Iqrak dahulu.
Nobat merpati di gunung.
Memberi salam nuri di pintu.
Berbeka burung di bumbungan.
Berkokok si tambang denak.
Bertitir ketitir jantan.
Berkubu balam tembaga tiga gaya'
Surah
yang ditulis ini aku harapkan akan dihanyutkan air dari gunung melimpah
ke sungai dari sungai mengalir ke laut. Surah ini aku harapkan akan akan
diterbangkan angin naik ke awan. Jatuh di awan disambar helang dan
gagak untuk disebar ke Kampung Hulu dan Kampung Hilir. Hendaknya.
Titir canang pemanggil.
Pukul tabuh larangan.
Palu gong pelaung.
Aku amat
amat yakin pada Selasa 28 haribulan Oktober 2014 ini nanti Anwar
Ibrahim akan dipenjara. Rayuan Anwar akan meleset dan gagal. Lima orang
Tuan Hakim termasuk Ketua Hakim Negara yang akan menjadi Pengerusi
Sidang Mahkamah Rayuan ini akan mendapati Anwar bersalah.
Inilah
surah songsang yang aku bawa. Sabar dahulu, biar aku huraikan kenapa Si
Anwar ini akan dipenjara. Kau baca dahulu apa yang aku tulis ini.
Satelah selesai bacaan maka kau berbunyilah sehendaknya.
Aku
berani menulis sedemikian kerana dari apa yang aku amat-amati telah
jelas. Bagaikan terang lagi bersuluh. Bagaikan telefon telah berdering.
Bagaikan durian sudah dapat aku ciumi. Semua babak-babak politik yang
berlaku kebelakangan ini menyatakan bahawa Si Anwar ini akan masuk
penjara.
Awal-awal
duhulu aku memiliki pandangan bahawa 'tidak mungkin' Si Anwar ini
dihantar ke Sungai Buluh atau Kajang. Kenapa aku beralih pandangan.
Apakah aku telah ditumbuk rusuk hingga terbatuk-batuk? Jawabnya tidak.
Realpolitik – uberpolitik kata orang German – meyakinkan aku bahawa
Anwar akan dipenjara.
Awal
wahid: Pada hemat aku memasukkan Anwar ke penjara ini adalah satu
pelaburan Najib dan Rosmah yang paling lumayan. Umum telah mengetahui
bagaimana Najib dan Rosmah bersama Saiful didakwa telah bersama
merancang untuk memerangkap Anwar.
Inilah buktinya - satu pelaburan murah tetapi pulangan yang amat lumayan. Najib dan Rosmah meraih pulangan yang tidak terhingga.
Apakah
para pembaca telah lupa bagaimana juru lecok dan juru heboh Mahathir
telah berleter tentang Najib seorang Perdana Menteri yang manai. Najib
lebih lembik dari Dolah Badawi. Apakah perlu aku ingatkan tentang Kadir
Jasin dan Zainuddin Mydin telah secara terbuka memukul canang memberi
tanda bahawa Najib Razak wajib ditendang jika United Malays National
Organisation mahu selamat. Dalam firasat dua ekor budak suruhan Anak
Lelaki Iskandar Kutty ini Najib adalah 'jantan lembik' yang tidak
bermaya dan tidak bertenaga untuk mengemudikan agenda – ketuanan Melayu.
Najib wajib diganti.
Justeru
apabila Anwar dipenjara ini ialah sebotol Viagra yang ditelan Najib.
Dengan pantas Najib akan naik 'ngang' dan memiliki syawat keberanian
untuk melakukan sesuatu. Selama ini di laman media sosial – di Facebook,
blog dan di Tweter - Najib digambarkan sebagai Jantan Mandul yang takut
kepada bini. Imej Najib kena 'rojak kangkang' ini telah tersebar
meluas. Dakwaan kesah-kesah Rosmah menengking Najib secara terbuka telah
menjadi rahsia umum.
Aku
wajib mengingatkan pembaca bahawa yang membebaskan Anwar Ibrahim ialah
Abdullah Badawi. Tun Dolah sosok yang warak ini juga adalah musuh ketat
Anak Lelaki Iskandar Kutty. Justeru, dengan memasukkan Anwar sekali lagi
ke penjara pasti akan menggembirakan Anak Lelaki Iskandar Kutty
gembira. Satu KPI untuk Najib.
Pada
hemat aku masa dan saat untuk Anwar ke penjara ialah 28 haribulan ini.
Ini tarikh yang tepat. Aku tidak perlu mencari Raja Bomoh atau berjumpa
Harun Din untuk menilik air di pinggan. Aku sendiri boleh meramalkan apa
yang akan berlaku minggu depan. Pergolakan politik terkini meyakinkan
aku bahawa Anwar akan kena.
Pada
ketika ini Pakatan Rakyat tidak sekuat ketika mula menang PRU13 dahulu.
Apabila Sultan Selangor memungut Azmin Ali untuk menjadi Menteri Besar
ini membuktikan bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi kompak dan padu. Malah
Sultan Selangor telah menerangkan kenapa Baginda memungut Azmin Ali.
Menurut Sultan ini kerana wujudnya perbalahan dalam Pakatan. Ini
kata-kata Sultan Selangor. Kata-kata ini tepat sekali.
Apakah
perlu aku melakarkan bukti tentang apa yang terjadi dalam Pakatan.
Apakah para pembaca telah mula lupa tentang perangai dan kelakuan Hadi
Awang yang berdolak dalik? Haji Hadi yang kini dianggap Jaguh You Turn
adalah salah satu punca yang menjadikan Pakatan Rakyat tidak keras padu.
Kelakuan
Hadi Awang yang berdolak dalik ini telah memberahikan nafsu syahwat
Najib untuk bongkar dan mengembang. Najib merasa dan melihat Pakatan
tidak 'solid' lagi. Dalam masa yang sama umum juga telah diberitahu
bahawa wujudnya satu gerombolan yang menamakan diri mereka “Youji”.
Gerombolan ini dikatakan telah 'bersulit-sulit dan bercanda-canda'
dengan Najib. Bila aku mencongak pada 29 haribulan ini gerombolan Youji
ini pasti akan 'bersyukur' Anwar Ibrahim dipenjara.
Di sini
biar aku buka labon sejarah - pada 20 September 1998 apabila Anwar
Ibrahim ditangkap – dia adalah bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia
dan juga Timbalan Presiden Parti Gerombolan Ketuanan Melayu. Penangkapan
Anwar ini memeranjatkan Minah dan Mamat dari hujung kampong hingga ke
ceruk Felda. Penangkapan ini telah menjemput ribuan warga dan anak muda
untuk berpolitik di jalan raya. Bentrokan dan pertempuran hebat berlaku
di jalan raya. Ramai yang cedera dan ramai yang ditangkap.
Pada 28
haribulan nanti aku yakin tidak ramai yang akan datang ke Mahkamah di
Putrajaya. Ini bukan kerana tidak ada sokongan kepada Anwar. Sokongan
masih teguh. Apa yang kurang ialah generasi anak-anak muda yang membesar
15 tahun lalu kurang arif tentang sejarah.
Aku juga
yakin bahawa pemenjaraan Anwar ini amat-amat disukai oleh Cucu Iskandar
Kutty dan Menantu Dolah Badawi. Khairy Jamluddin dan Mukhriz pasti
menyimpan niat untuk menjadi ketua Gerombolan Ketuanan Melayu. Budak dua
ekor ini pasti melihat Anwar Ibrahim ini sebagai penghalang projek
mereka untuk menjarah harta kekayaan negara ini.
Malah
aku rasa bukan sahaja Khairy dan Mukhriz mungkin merasa selesa apabila
Anwar dipenjara – ramai juga pemimpin dan ahli United Malaya National
Organisation akan merasa 'happi' kerana Anwar telah menerima hukuman.
Tocang Najib yang terbarai akan mencanak naik dalam Parti Ketuanan
Melayu. Nyawa Najib dan Rosmah bersambung apabila Anwar dalam penjara
Akhirnya
dalam surah songsang ini aku wajib menjelaskan bahawa kes Saiful ini
bukan hal undang-undang atau hukum hakam atau Perlembagaan Persekutuan.
Ia juga pada hemat aku tidak ada sangkut paut dengan agama-agama, dengan
Islam, dengan Tok Arab, dengan ilmu fekah atau ilmu tajwid.
Ia juga
bukan tentang bahan bukti, atau tentang keterangan saksi atau juga alibi
atau tentang bagaimana undang-undang dan hukum wajib di fahami. Ianya
juga tidak ada sangkut paut dengan semangat perundangan atau pun
bersangkutan dengan Piagam Hak Asasi Manusia yang digunapakai oleh
Bangsa Bangsa Bersatu.
Anwar
Ibrahim dipenjara untuk menyelamatkan United Malays National
Organisation dari runtuh terbarai. Anwar Ibrahim dipenjara untuk tujuan
politik. Anwar Ibrahim dipenjara untuk memastikan Pakatan Rakyat akan
kucar kacir dan koyak rabak.
Selagi
sosok yang bernama Anwar Ibrahim dapat bergerak bebas. Selagi Anwar
Ibrahim dapat berhadapan dengan Mak Cik dan Pak Cik di kampung. Selagi
Anwar Ibrahim dapat berkata kepada media. Selagi Anwar Ibrahim dapat
berucap di luar negara – nyawa dan nafas United Malays National
Organisation akan menjadi sesak dan pendek.
Sama ada
Haji Hadi menerima hakikat ini, sama ada Nik Abduh menerima hakikat
ini, sama ada Harun Din menerima hakikat bahawa sosok Anwar Ibrahim
inilah yang melahirkan ikatan setiakawan antara PAS, DAP dan PKR. Benci
bagaimana pun seseorang terhadap Anwar Ibrahim – mereka tidak akan dapat
menafikan apa yang aku tulis ini.
Tanda dan makna telah aku lakar. Aku ingin ingatkan bagaimana datuk nenek moyang kita mengira hari;
Tengah malam sudah terlampau.
Dinihari belum lagi tampak.
Budak budak dua kali jaga.
Orang muda pulang bertandang.
Orang tua berkalih tidur.
Embun jantan rintik rintik.
Bunyi kuang jauh ke tengah.
Sering lanting riang di rimba.
Melenguh lembu di padang.
Sambut menguak kerbau di kandang.
Berkokok mandung merak mengigal.
Fajar sedang menyingsing naik.
Kicak kicau bunyi murai.
Tak tibau melambung tinggi.
Berkuku balam di hujung bendul.
Terdengut puyuh panjang bunyi.
Puntung sejengkal panjang sejari.
Itulah alamat hari nak siang.
Inilah tanda Anwar akan dipenjara.
Kerengga
0 orang berkata:
Post a Comment