Salahuddin Ayub 
SHAH ALAM - Ruang diskusi antara Pas dan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) perlu dibuka bagi meleraikan kekeliruan ahli parti itu.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, perkara itu penting memandangkan masih ada percanggahan pendapat antara ahli walaupun Majlis Syura Ulama Pas telah menasihatkan ahli Pas supaya tidak menyertai Pasma.

“Setiap ahli Pas berhak untuk menyertai mana-mana pertubuhan bukan kerajaan, kita tidak boleh melarang sekiranya ada ahli mahu sertai program anjuran Pasma.

“Namun, Majlis Syura sudah keluarkan arahan atau mungkin disebut sebagai nasihat melarang untuk ahli sertainya. Maka, keadaan ini mungkin mencetuskan keraguan dan keresahan ahli-ahli Pas. Oleh itu eloklah untuk diadakan diskusi antara kedua-dua pihak bagi mencari
jalan penyelesaian,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Salahuddin, sejak daripada dahulu lagi, Pas sudah mengamalkan keterbukaan dalam pelbagai isu, jadi isu antara Pas dan Pasma juga oleh dirundingkan.


Ditanya sama ada ahli Pas perlu akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulama, Salahuddin berkata, ia terpulang kepada ahli, namun kebiasaannya sebarang keputusan yang dibuat majlis itu akan diterima pakai.

Kelmarin, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Abdul Samad berkata, tindakan Pas melarang ahlinya menyertai Pasma hanya akan menimbulkan persepsi negatif umum.

Ahli Parlimen Shah Alam itu yang menulis di laman blognya turut menyifatkan Pas seolah-olah takut pada bayang-bayang sendiri apabila membuat larangan seperti itu.