SEREMBAN - Anggota seni bela diri di negara ini diingatkan tidak menyertai perhimpunan yang dikatakan bakal diadakan di Istana Kehakiman, Putrajaya akhir bulan ini.

Sambil meminta rakyat tidak menyertai perhimpunan itu, Presiden Majlis Pendekar Malaysia (MPM), Tan Sri Omardin Mauju berkata, pihaknya tidak menyokong perhimpunan itu.

"Kita juga minta polis tidak meluluskan permit bagi perhimpunan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Wushu Mencari Bakat Sekolah-sekolah Negeri Sembilan Kali Ketiga di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan bahawa NGO JINGGA 13 akan mengadakan perhimpunan di Istana Kehakiman hujung bulan ini. Dalam perkembangan lain, Omardin berkata, setakat ini, tiada dalam kalangan anggota Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dilaporkan terbabit dengan kegiatan militan. - Bernama