• Musa Hassan Musa Hassan
1 / 1
SHAH ALAM - Pegawai atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu sering turun padang bagi memantau gerak kerja anggotanya terutama sewaktu operasi dijalankan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pegawai atasan perlu melihat sama ada anggota polis menjalankan tugas mengikut arahan yang diberikan.

“Mereka bukan saja perlu buat pemeriksaan terhadap tugas-tugas yang telah dijalankan oleh pegawai bawahan. Tetapi apabila arahan keluar, anda kena semaklah sama ada mereka ikut atau tak ikut.

“Janganlah apabila keluar arahan, anda hanya duduk dalam pejabat. Buatlah 'spotcheck'. Malam-malam perlu keluar melihat bagaimana anggota membuat sekatan jalan atau serbuan pusat-pusat hiburan.

"Kena perhati barulah dapat dijalankan integriti itu dengan betul,” katanya kepada Sinar Online dalam tembual eksklusif, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas soal cara mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap penguatkuasa selepas isu rasuah kembali diperkatakan ekoran pendakwaan dilakukan kepada penguatkuasa daripada pelbagai jabatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum ini, melalui kemaskini status terkininya di laman mikro Twitter, Musa menyebut, keyakinan rakyat terhadap penguatkuasa perlu dikembalikan sambil menyertakan keratan-keratan akhbar tempatan yang melaporkan soal pendakwaan ke atas penguatkuasa termasuk polis.

Selain itu, beliau juga menyifatkan pegawai atasan perlu menyuarakan kepada anggota-anggotanya agar tidak terlibat dengan gejala rasuah.

Tambahnya, jabatan-jabatan bagi menangani soal tatatertib pula perlu bertindak lebih berkesan terhadap pegawai-pegawai yang menyeleweng atau mengambil rasuah.

Manakala Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) juga perlu membuat pemantauan ketika operasi dijalankan bukan sekadar memberi khidmat nasihat kepada anggota polis.

“Kemudian, sudah diwujudkan Jabatan Integriti (JIPS) dan ia perlu memainkan peranan yang lebih berkesan.

“Bukan (setakat) beri nasihat sahaja tapi perlu membuat pemantauan sekali dalam operasi-operasi yang dijalankan polis supaya tidak ada penyelewengan berlaku.

“Kalau boleh mereka jalankan kerjasama dengan SPRM. Supaya pegawai bawahan itu tadi takut untuk menyeleweng,” katanya.