• Pas
1 / 1
SHAH ALAM – Kewujudan golongan anti-hudud ataupun hududophobia yang memberikan pelbagai alasan demi mengelak terlaksananya hukum hudud adalah penghalang utama usaha Pas.
 
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata, DAP secara terang-terang menyuarakan tentangan dan PKR pula dilihat enggan beri pandangan terhadap pelaksanaan hudud.
 
Bagaimanapun, BN pula masih belum memberi keputusan muktamad terhadap pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (pindaan 2015) atau hukum hudud.
 
Katanya, ada pihak mempertikaikan isu hudud tidak perlu diberikan keutamaan kerana khuatir pengundi tak akan memberi undi kepada Pas dalam pilihanraya nanti.
 
“Namun, peningkatan keahlian Pas mutakhir ini sehingga sudah menjangkau 1 juta ahli menunjukkan bahawa masyarakat Islam di Malaysia menghormati Pas kerana tegas dengan prinsip Islamnya. Ada yang tidak bersetuju kerana masa tidak sesuai, Soalnya bilakah masa sesuai?
 
“Ada pula yang mengecam Hudud dengan alasan ia melanggar hak asasi manusia. Peliknya mereka boleh pula menerima hukuman mati di atas kerusi elektrik dan gantung sampai mati,” katanya menerusi sebuah kenyataan, hari ini.
 
Muhammad Khalil turut mempersoal tindakan golongan anti-hudud yang menyatakan pertikaian terhadap hukuman yang diperuntukkan dalam enakmen syariah itu.
 
“Ini merupakan fenomena (Hududophobia) yang melanda negara ini sekarang. Bagaimana ia akan berakhir? Kita tunggu dan lihat,” katanya.
 
Ketegangan antara Pas dan DAP memuncak apabila Pas dilihat masih meneruskan cita-cita untuk melaksanakan hukum hudud dengan membawa Rang Undang-undang (RUU) Persendirian enakmen tersebut ke sidang Dewan.
 
Lantang menyuarakan penolakan RUU tersebut, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah mengumumkan untuk putus hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.