• Sirul Azhar Umar Rombongan “See For (C4) Yourself” mempertemukan Piah dan anaknya Sirul di Pusat Tahanan Imigresen, Australia, hari ini. - Foto ihsan Harakahdaily.net
1 / 1
SHAH ALAM – Suasana pilu dan hiba menyelubungi Pusat Tahanan Imigresen (IDC), Villawood, Sydney sebaik sahaja rombongan misi “See For (C4) Yourself” berjaya mempertemukan ibu Sirul Azhar Umar, Piah Samad dengan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu, kira-kira 5.30 petang waktu tempatan, hari ini.

Menurut Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar yang mengetuai rombongan itu berkata, hanya linangan air mata menjadi pengubat kerinduan anak-beranak itu yang berpelukan sebaik sahaja pertemuan tersebut.

“Suasana begitu hiba dan sayu bagi kami pada saat mula pertemuan tersebut apabila si ibu dan anak berpelukan.

“Tangisan air mata kerinduan seorang ibu kepada anaknya yang berjauhan dan belum tentu nasib yang melanda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rombongan misi tersebut ke Sydney, Australia yang bertolak semalam untuk bertemu dengan bekas anggota UTK itu yang kini ditahan di sebuah pusat Imigresen di negara kangaroo itu.

Mahfuz sebelum berlepas berkata, misi itu lebih kepada misi kemanusiaan semata-mata bukan bertujuan untuk mencetuskan kontroversi.

Lebih menyayat hati lagi apabila ibu Sirul sempat membawa bekal sambal bilis dari kampung kepada anaknya yang kini dalam tahanan pihak berkuasa Australia.

Mengulas lanjut, Mahfuz turut menyifatkan misi kemanusiaan anjuran Pas itu berjaya apabila dapat mempertemukan kedua-dua anak beranak itu termasuk adik perempuan Sirul, Noriatin Umar.

“Saya berpandangan misi kemanusiaan ini berjaya apabila dapat mempertemukan seorang ibu kepada anaknya yang dikasihi.

“Puan Piah membawa sambal bilis dari kampung manakala saya membeli anggur dan kasut sukan yang dipesan oleh Sirul,” ujarnya.

Mahfuz turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Australia kerana memberikan kebenaran untuk bertemu dengan Sirul.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Australia khususnya pihak berkuasa Pusat Tahanan Imigresen yang memberikan kebenaran kami bertemu Sirul. Sirul juga menyatakan salam penghargaan buat semua yang prihatin terhadapnya,” katanya lagi.