Kepimpinan ulama prinsip asas Pas
SHAH ALAM - Pas Selangor tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada
ahli-ahlinya di negeri ini agar mencalonkan hanya golongan ulama
semata-mata dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan berlangsung pada
Jun akan datang.
Pesuruhjayanya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya
menyerahkan kepada ahli Pas di peringkat kawasan masing-masing untuk
mencalonkan individu yang layak memimpin parti itu.
“Kita (Pas Selangor) sejak dahulu tidak keluarkan arahan atau
ketetapan mengenai pemilihan parti. Hal ini terpulang kepada mereka
untuk menentukan calon yang layak untuk memimpin parti.
“Namun, kepimpinan ulama adalah dasar serta prinsip Pas sejak sekian
lama dan ia perlu diteruskan. Pas sebagai sebuah parti yang turut
melibatkan soal dakwah, tarbiah dan politik adalah lebih sesuai dikemudi
oleh kepimpinan ulama,” katanya ketika ditemui selepas sesi pendengaran
awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan,
Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) berhubung Penyelenggaraan
dan Pemantauan Perumahan Selangor di sini, semalam.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menegaskan seluruh
kepemimpinan Pas akan mempertahankan kedudukan Presiden, Abdul Hadi
daripada digulingkan.
Malah, Mustafa turut memberi jaminan bahawa tidak akan ada mana-mana
pemimpin dalam kalangan parti itu sanggup mencabar Abdul Hadi untuk
jawatan Presiden pada pemilihan kelak.
Dalam pada itu, Iskandar secara peribadi menolak pencalonan daripada
mana-mana pemimpin Pas yang terlibat dalam Persatuan Ummah Sejahtera
Malaysia (Pasma).
“Secara peribadi saya tolak (pencalonan anggota Pasma bertanding
jawatan tertinggi Pas). Sebelum ini telah ada arahan yang jelas kepada
ahli-ahli Pas berhubung dengan Pasma ini,” katanya.
1 orang berkata:
Pasma boleh bertanding atas jwt pengarah cuci lantai penjara anwar @ cuci rmh LGE
Post a Comment