• Nik Abduh Nik Abdul Aziz Nik Abduh Nik Abdul Aziz
1 / 1
KUALA LUMPUR - PR akan berpecah jika DAP terus memberi tekanan politik terhadap rakan sekutunya Pas, kata Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata DAP perlu menghentikan polemik serangan terhadap Pas agar parti itu kekal berada di dalam pakatan pembangkang.

"Kalau Pas main rentak DAP, makin jadi pecahlah," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau turut senada dengan anggota Pas yang lain yang tidak berpuas hati dengan tindakan DAP terus menyerang peribadi kepimpinan ulama termasuk presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Bagi saya, kalau semakin DAP serang ulama seperti presiden (Abdul Hadi), semakin orang (anggota parti) simpati kerana hendak mengundi bukan DAP, tetapi ahli Pas. Tak tahulah kalau DAP mahu Haji Abdul Hadi kekal (presiden) senang hendak keluar PR," katanya sinis.

Mengenai provokasi DAP untuk Pas bertindak keluar pakatan pembangkang dan membentuk Kerajaan Perpaduan dengan BN, beliau menyifatkan ia sebagai 'muslihat politik' dan yakin parti itu tidak akan mengambil tindakan sedemikian.

"Saya tak suka isu yang dibangkitkan DAP diperbesarkan. DAP banyak merujuk kepada isu hudud dan isu Pas nak sertai BN, sedangkan bagi kita, presiden saya sendiri yang saya faham isu ini tiada dan tidak berbangkit.

"Pertama sekali, saya sebut isu hudud ini bukan sepatutnya isu yang boleh memecahkan PR," katanya sambil berharap pimpinan tertinggi Pas mempunyai langkah untuk meredakan keadaan itu.

Pada Ahad lepas, Penasihat DAP Lim Kit Siang dilapor membayangkan tiga parti komponen dalam pakatan pembangkang iaitu DAP, PKR dan Pas, tidak akan wujud lagi dalam tempoh dua minggu, sekali gus menggambarkan pakatan itu kini di ambang perpecahan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng meminta Abdul Hadi keluar dari PR jika mahu meneruskan hasrat membentangkan Rang Undang-undang Persendirian berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud di Dewan Rakyat.  - Bernama