KOTA BHARU - Pas Kelantan sedang mengenal pasti anggotanya yang terlibat dalam Harapan Baharu yang didakwa bakal ditubuhkan pada September depan oleh sebilangan pemimpin kanan parti itu yang tewas dalam pemilihan Muktamar Tahunan Pas ke-61 baru-baru ini.
 
Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata pihaknya mempunyai 'mata dan telinga' di setiap cawangan yang akan memberi laporan kepada Pas negeri sebelum aduan rasmi dikemukakan kepada Jawatankuasa Tatatertib Pas Pusat untuk  tindakan lanjut.
 
"Kami sedang memerhati (ahli nak sertai Harapan Baharu). Kalau ikut perlembagaan‎ parti, negeri atau dewan-dewan boleh melapor kepada Pas pusat apabila ada anggotanya telah melakukan sesuatu perlanggaran akhlak dengan parti dan Jawatankuasa Tatatertib akan buat keputusan," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Pas cawangan Kedai Mulong di sini, malam tadi.
 
Pada majlis berkenaan, kira-kira 100 ahli Pas cawangan yang diketuai‎ Ketua Pas cawangan Kedai Mulong, Mohamad Abdullah turut melafazkan ikrar taat setia untuk terus bersama-sama dan mengukuhkan perjuangan parti.
 
Khamis lepas, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipetik sebagai‎ berkata, Pas akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemimpin dan ahli parti itu yang menghadiri siri jelajah anjuran Harapan Baharu.‎ - Bernama