Shafie akur, perjuangan selama ini untuk rakyat
SHAH ALAM - "Pandangan yang saya berikan adalah demi untuk menguatkan
Umno dan niat ini bertujuan untuk meletakkan negara di landasan yang
sepatutnya,” demikian ujar bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan
Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Berkata menerusi kenyataan pada hari ini, jelas beliau, Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak untuk merombak kabinet
sekiranya perjuangannya tidak selari dengan pendirian pemimpin negara
ini.
“Selama ini saya telah memperjuangkan kepentingan rakyat dan sentimen akar umbi.
“Sekiranya ia dianggap tidak selari dengan pendirian, maka itu adalah
hak beliau sebagai perdana menteri untuk membuat rombakan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dalam satu sidang
media mengumumkan barisan Kabinet baharunya yang antara lain
menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Jawatan Muhyiddin digantikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut memegang portfolio Menteri Dalam Negeri.
Mengulas lanjut, Shafie berkata, beliau telah menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin semasa memegang jawatan Kabinet.
“Sejak memegang jawatan Kabinet, saya telah menjalankan amanah dan
tanggungjawab yang terbaik untuk memastikan kesejahteraan rakyat
terutamanya masyarakat di luar bandar,” katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment