Mat Sabu terdesak hendak selamat karier politik
KUALA LUMPUR - Tuduhan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad
Sabu yang mendakwa Pas diresapi ideologi militan I.S atau pengganas
Daesh adalah langkah terdesak bagi mengembalikan karier politiknya yang
kini ibarat telur di hujung tanduk.
Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata,
Mohamad atau Mat Sabu sudah tidak ada modal untuk menjatuhkan Pas sejak
beliau keluar daripada parti itu dan membentuk Amanah.
Selepas krisis perpecahan ini (Pas-Amanah), semua tahu bahawa Pas kekal
dengan dasar dan polisinya, dan parti serpihan ini (Amanah) pula
terpaksa mencari hujah, yang bagi saya terlalu mudah ditolak bukan oleh
Pas saja, bahkan oleh rakyat.
[ARTIKEL BERKAITAN: Isu IS: Mat Sabu diminta kemuka bukti]
"Isu takfiri (mengkafirkan kumpulan yang berbeza pandangan) ini adalah
hujah pada tahun 80-an yang pernah digunakan Umno, tapi sekarang Umno
juga sudah tidak menggunakan hujah itu kerana mereka tahu Pas membawa
Islam sebenar.
"Dia (Mat Sabu) nak buktikan, buktikanlah, tapi saya yakin dia tidak
mungkin dapat buktikan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi
Parlimen hari ini.
Nik Mohamad Abduh berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Mat
Sabu bahawa Pas diresapi ideologi IS hingga tersubur budaya takfiri
selain menjadi punca tertubuhnya Amanah.
Mengulas lanjut, Nik Mohamad Abduh berkata Pas tidak pernah menyokong
perjuangan bekas Ketua Penerangan Pemuda Pas Kedah, Mohd Lotfi Ariffin
yang menyertai kumpulan itu di Syria hingga terkorban.
"Kita tidak tahu pemergiannya ke Syria. Anggota dan parti sendiri tidak
pernah sokong. Walaupun kita menolak rakyat Malaysia berjuang ke sana
kerana itu bukan polisi Pas, saya dan ahli Pas mendoakan supaya
perjuangan dia diterima.
"Itu benda biasa, orang Umno meninggal, kita doakan, orang Pas
meninggal, orang Umno doakan, itu untuk orang mati, kita doakan sesama
Muslim supaya diterima oleh ALLAH," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan Mat Sabu itu, bekas Ketua
Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata dia tidak pernah mendengar
kewujudan anggota Pas yang terlibat dalam ideologi militan itu sepanjang
beliau menjadi anggota parti tersebut.
"Ini adalah perkara baharu dan pihak yang menuduh (Mat Sabu) serta
polis perlu membuktikan dakwaan itu sama ada benar atau sebaliknya,"
katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment