Isu RM2.6b: Kenapa Najib kena tunggu esok?
KUALA LUMPUR - "Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai
banyak peluang untuk menjelaskan isu RM2.6 bilion yang menjadi tanya
tanya seluruh rakyat negara ini, namun mengapa esok baru beliau mahu
jelaskan?".
Demikian persoalan yang dibangkitkan bekas Ketua Wanita Umno Bahagian
Gopeng, Datuk Hamidah Osman apabila Jabatan Perdana Menteri (JPM)
memutuskan semua persoalan mengenai isu dana RM2.6 bilion hanya akan
dijawab di Parlimen esok.
"Saya tidak letak harapan tinggi pada Najib. Beliau mempunyai banyak
saluran (sebelum ini) untuk bersuara, kenapa baru esok baru nak
jelaskan?
"Lainlah macam kami, kami susah mahu dapat liputan. Nak kena panggil
media dulu baru boleh bercakap," kata Hamidah dalam wawancara bersama
Sinar Online di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said
sebelum ini dipetik sebagai berkata, JPM memutuskan agar semua persoalan
berkaitan isu dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi
Perdana Menteri itu dikumpulkan dan dijawab pada hari terakhir sidang
Dewan Rakyat kali ini.
"Sekiranya perdana menteri menjawab hari ini dan esok satu lagi soalan
dan kemudian satu lagi soalan, maka ini tidak akan berakhir," ujar
Azalina.
Namun ketika ditanya sama ada Najib akan menjawab soalan-soalan itu
pada hari tersebut, Azalina berkata: "Sama ada perdana menteri atau
sesiapa sahaja dari JPM akan menjawab...ia masih prerogatif perdana
menteri."
0 orang berkata:
Post a Comment