Umno perlu bersih 'kurap' dulu
KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mahu Umno
membersihkan parti itu terlebih dahulu sebelum berhasrat merampas
kerajaan Kelantan.
Malah, Timbalan Mursyidul Am Pas itu mengibaratkan Umno kini seperti
manusia yang mempunyai penyakit kulit seperti kurap dan perlu dirawat.
“Datuk Seri Mustapa Mohamed nak ambil Kelantan, tetapi dia tidak ingat
dia (Umno) ada ‘kurap’ juga, malah penyakit tu lebih daripada
‘badan’,” katanya dalam kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini, semalam.
Sebelum itu, Mustapa pada Majlis Penutup Konvokesyen Umno Kelantan
menyatakan keyakinan BN dapat merampas Kelantan daripada Pas pada PRU14
dengan mengambil kira faktor ketiadaan bekas Menteri Besar, Allahyarham
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kekecohan dalam Pas sehingga kewujudan
Parti Amanah Negara (Amanah).
Ahmad berkata, perjuangan Pas adalah memastikan Islam terlaksana
walaupun ketiadaan Allahyarham Nik Abdul Aziz sebagai pemimpin utama.
“Kita ni perintah atas Islam, bukan kerana arwah Tok Guru (Nik Abdul
Aziz) tetapi kerana Islam,” katanya yang mengambil alih kepimpinan
daripada arwah Tok Guru selepas PRU13.
Dalam pada itu, Ahmad ketika ditemui berkata, Umno perlu menyedari
hakikat bahawa parti itu turut mengalami masalah, malah lebih teruk dari
apa yang dialami Pas.
Beliau yang tidak menolak krisis melanda Pas kini berkata, yang
penting adalah kaedah penyelesaian bagi memastikan rakyat terjaga.
“Sebenarnya, apabila dia (Mustapa) kata Pas ada penyakit, jadi dia pun
kena tahu dia (Umno) ada penyakit juga, malah mungkin lebih berat lagi.
"Sekarang ini, kena baiki penyakit, sama-sama baiki, sama-sama berjuang dalam negara yang demokrasi ni tak mengapa,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment