Pendirian Hadi jadi garis panduan parti
KUALA TERENGGANU - Pendirian yang disuarakan Presiden Pas, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang berhubung isu kerjasama bersama Umno menjadi garis
panduan Pas di negeri ini.
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Hanafiah Mat
berkata, kepimpinan Pas negeri ini akan menuruti apa yang disuarakan
presiden iaitu Pas tetap bersama Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14).
“Setakat ini apa yang presiden cakap menjadi garis panduan Pas
Terengganu berkenaan apa jua perkara dibangkitkan berhubung kerjasama
politik antara dua parti ini.
“Garis panduan itu termaktub pada apa yang diucap oleh presiden Pas
iaitu akan tetap bersama dan bergading bahu bersama Parti Keadilan
Rakyat (PKR) dalam PRU14 nanti,” katanya kepada Sinar Harian.
Hanafiah berkata, Pas Terengganu mempunyai keyakinan penuh dengan
potensi sokongan rakyat yang ada sekarang menunjukkan sokongan berpihak
kepada pembangkang.
“Kita miliki keyakinan penuh dengan ‘mood’ rakyat yang ada pada hari
ini menunjukkan bahawa kita bersedia untuk ganti Umno dalam PRU akan
datang.
“Keyakinan itu jelas dan pendirian kita serupa sama ada kepimpinan di peringkat negeri atau nasional,” katanya.
Beliau berkata, isu kerjasama politik yang diperkatakan itu sudah
sekian lama memandangkan talian hayat Umno kini bergantung pada Pas dan
orang Melayu.
“Kita sedia maklum bahawa kaum Cina sudah tidak menyokong Umno dan
Barisan Nasional (BN), dan kita juga telah menjalinkan Tahaluf Siyasi
bersama PR bukan dalam tempoh yang singkat, jadi kerjasama politik
antara Pas dan Umno tidak akan berlaku.
“Bukan itu sahaja, kita juga akan gerakkan jentera kita sehingga ke
peringkat akar umbi untuk berjuang dalam PRU14 untuk menumbangkan Umno,”
katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment