Najib, Hadi akan bertemu minggu depan
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas Datuk Seri
Abdul Hadi Awang dijangka bertemu minggu depan, yang dilihat sebagai
perkembangan positif selepas Presiden Umno itu menghulurkan 'tali
silaturahim' kepada Pas.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Puad Zarkashi ketika ditemu bual
BernamaTV berkata kedua-dua pemimpin itu dijadual bertemu dalam satu
majlis anjuran Alumni Al-Azhar.
Dr Puad berkata Najib dijadualkan merasmikan majlis itu, manakala Abdul Hadi akan menyampaikan ucap utama.
"Apa yang penting di peringkat awal ini adalah untuk kita melihat
bagaimana kedua-dua parti boleh bekerjasama dalam perkara yang
sepatutnya terutamanya dalam hal dakwah, menentang ajaran sesat, ajaran
liberalisme dan sebagainya," katanya di sini.
Puad turut berpendapat pertemuan dua pemimpin itu sebagai perkembangan
positif kepada pelawaan presiden Umno itu, namun masih terlalu awal
untuk memperkatakan berhubung penggabungan kedua-dua parti itu.
Najib ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2015
semalam berkata UMNO menghulurkan 'tali silaturahim' kepada Pas untuk
bersama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam
selepas parti itu 'disepak dan diterajang keluar' oleh rakan-rakan
pembangkangnya.
Puad berkata para perwakilan yang membahaskan ucapan presiden itu juga
dilihat menyokong pelawaan itu dan berpendapat Pas tidak lagi boleh
diihat sebagai musuh politik Umno.
Keterbukaan Pas, menerusi kenyataan Abdul Hadi sebelum ini, juga
menunjukkan parti itu seperti bersedia untuk menjalin hubungan bersama
Umno, katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment