Cubaan fitnah calon BN Kuala Kangsar
KUALA KANGSAR - Satu gerakan dikesan dilakukan pihak-pihak tertentu
yang terdesak menggunakan taktik kotor memfitnah calon BN, Datin Mastura
Mohd Yazid.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tindakan
tidak bertanggungjawab itu dikesan selepas beberapa gambar satu slip
bayaran berjumlah RM500,000 diviralkan menerusi aplikasi WhatsApp hari
ini.
Katanya, slip bank berkenaan dijadikan bahan kempen seolah-olah Mastura
menerima habuan sebanyak RM500,000 pada pilihan raya ini daripada
seseorang.
"Gerakan ini adalah satu usaha yang jijik lagi menjengkelkan dengan
menggunakan slip bayaran kepada firma guaman Mastura, Yazid Baba &
partners pada tahun 2012.
"Saya telah mengarahkan laporan polis dibuat dengan kadar segera supaya pihak polis dapat membuat penyiasatan.
"Amat malang sekali dalam bulan Ramadan yang mulia ini, fitnah
keterlaluan seperti ini dilakukan bagi mencapai kemenangan dalam pilihan
raya kecil ini. Ini merupakan suatu perbuatan yang amat jelek,"
katanya dalam satu sidang media hari ini.
Zambry berkata, slip bayaran yang ditonjolkan sebenarnya merupakan
bayaran atau pendahuluan kepada firma guaman Mastura, Yazid Baba &
partners, yang mana beliau merupakan seorang rakan kongsi.
Katanya, menjadi kebiasaan untuk sesiapa juga memasukkan wang ke dalam
akaun firma guaman atas pelbagai tujuan seperti wang deposit pembelian
rumah, bayaran perkhidmatan guaman, pembelian hartanah atau pembelian
saham.
Menurut beliau, akaun bank firma, bukanlah akaun peribadi, kerana ia akan diaudit oleh Majlis Peguam setiap tahun.
"Peguam tidak boleh menggunakan wang di dalam akuan berkenaan kerana
perbuatan sedemikian melanggar etika seorang peguam dan boleh didakwa
mahkamah. Jika didapati bersalah boleh ditarik sijil guamannya.
"Jadi tidak timbul, Mastura terlibat dalam mana-mana aktiviti serta kegiatan yang melanggar undang-undang," katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Zambry meminta pengundi agar tidak terpedaya dengan fitnah tersebut.
0 orang berkata:
Post a Comment