Sukar tafsir pendirian Pas
SEREMBAN - Pembangkang perlu mengetepikan kepentingan parti
masing-masing buat sementara waktu jika mereka mahu membentuk semula
kesepakatan bagi melawan BN pada PRU akan datang.
Penganalisis politik, , Prof Dr Nasrudin Mohammed, bagaimanapun,
menjangkakan kesepakatan itu sukar diwujudkan semula hanya disebabkan
Pas.
“Saya melihat susah untuk menentukan dan mentafsir pendirian Pas buat
masa sekarang kerana kadang-kala kita nampak mereka cenderung bersama
BN, sudi bertolak-ansur dengan rakan pembangkang lain dan ada masanya
memilih untuk bersendirian.
“Tapi saya percaya jika pembangkang tumpu kepada usaha menjatuhkan BN
dan ketepikan idealisme perjuangan mereka dan masalah dalaman lain, ia
boleh memberi keuntungan kepada mereka, lebih-lebih lagi dalam keadaan
krisis dalam Umno sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.
Nasruddin yang juga Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri
Sembilan berkata demikian ketika diminta mengulas usaha menemukan semua
parti pembangkang di meja rundingan untuk memperhalusi kerjasama dalam
usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang.
Jumaat lalu, Setiausaha Kerja Eksekutif Bersatu, Kamarul Azman Habibur
Rahman berkata kepada Sinar Harian, bahawa satu perjumpaan akan diatur
bagi memastikan rundingan secara rasmi mengenai strategi tersebut
dicapai antara parti-parti pembangkang termasuk Pas.
Mengenai soal pembahagian kerusi dan pemilihan calon pula, Nasrudin
berkata, ia bukan satu isu besar yang perlu dibimbangkan kerana masalah
itu juga turut berlaku kepada BN.
Katanya, pembangkang perlu memikirkan formula khusus untuk menentukan
siapa calon yang akan bertanding dan paling utama ia adalah calon boleh
menang.
“Spekulasi pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi sudah banyak kita dengar dan ini masa sesuai untuk pembangkang bertindak.
“Cuma sehingga tempoh itu, sejauh mana pembangkang dapat mengekalkan
kesepakatan yang ingin dibentuk semula tanpa ada sebarang masalah yang
boleh menjejaskan mereka,” katanya.
Menurut beliau, BN pula tidak perlu gentar jika parti pembangkang ingin
bersatu semula, kerana perkara yang perlu dibimbangkan adalah krisis
dalaman antara mereka yang belum lagi selesai.
Nasrudin berkata, jika ia dapat diatasi dan diselesaikan BN tidak perlu lagi bimbang cara untuk berhadapan dengan pembangkang.
Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad juga sebelum ini dilaporkan
berkata, pembangkang perlu bergabung, termasuk menggunakan formula satu
lawan satu, bagi mengalahkan BN.
1 orang berkata:
Aku pun tak setuju pas masuk pembangkang. Perlu ada perlawanan 3 penjuru di semua kerusi di kelantan. Ini baru boleh tentukan siapa sebenarnya kuat dan bukan omong2 kosong sahaja. Kita nak tengok siapa boleh perintah kelantan.
Jangan lupa. Pertandingan 3 penjuru untuk negeri kelantan. Cakao banyak tak guna laaa...
Post a Comment