PM lancar kempen 'Mulakan Hari Anda Dengan Madu'
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
melancarkan kempen 'Mulakan Hari Anda Dengan Madu' bagi menggalakkan
pengambilan madu tempatan setiap hari sebagai makanan kesihatan tambahan
bagi rakyat Malaysia.
Kempen itu bertujuan menimbulkan kesedaran orang ramai mengenai
nilai-nilai nutrien dan manfaat madu dalam membantu mengekalkan
kesihatan dan meningkatkan kecergasan diri, menurut kenyataan
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
berkata Malaysia akan mengadakan promosi secara besar-besaran supaya
madu kelulut Malaysia diterima di peringkat Pertubuhan Makanan dan
Pertanian sebagai 'super food' Malaysia yang pertama.
"Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) kini
dalam proses menggariskan satu standard bagi madu kelulut Malaysia
supaya ia boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa sebagaimana madu
manuka dari New Zealand.
"Standard yang digariskan Mardi juga akan membantu pengguna membezakan
madu yang asli dan tidak asli," katanya kepada pemberita pada majlis
pelancaran kempen itu.
Ahmad Shabery berkata bagi mempromosikan khasiat dan kebaikan madu
kelulut di seluruh negara, program Kelulut Walk akan bermula pada Hari
Sukan Negara iaitu 8 Okt depan.
Dalam program Kelulut Walk, seorang pengguna madu kelulut Sabri Ali, 55
akan menjadi duta kelulut dengan berjalan sejauh 2,000 km merentasi 14
negeri selama 50 hari sebagai testimoni kepada khasiat kelulut untuk
kesihatan dan kecergasan.
Jelas Ahmad Shabery, Sabri bukan sahaja menggunakan madu kelulut
sebagai makanan tetapi merawat kakinya yang melecet atau sebarang luka
dengan menyapu madu kelulut.
Sepanjang program Kelulut Walk berlangsung, orang ramai boleh turut
sama berjalan dengan Sabri sama ada untuk jarak 10km, 5km atau 1 km,
katanya lagi.
Sabri ketika ditemui pemberita berkata sejak mengamalkan madu kelulut
sebagai makanan kesihatan tambahan, tahap kesihatan dan kecergasannya
meningkat dan beliau tidak perlu terlalu menjaga atau berpantang makan.
Kelulut Walk 2016 dianjurkan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur
dan Agropelancongan Antarabangsa 2016 yang akan berlangsung dari 1
hingga 11 Dis di Serdang. - Bernama
1 orang berkata:
Bagi hadiah 1 botol madu kelulut kat presideng kite. Huhuhu
Post a Comment