Pas terus perjelas pindaan Akta 355
MENTAKAB - Pas terus memberi penjelasan mengenai cadangan pindaan Akta
355 kepada rakyat pelbagai kaum termasuk kepada kaum Cina dan bukan
muslim.
Penyelaras Kawasan Dun kerdau, Kamal Saari berkata, antara tujuan
penganjuran Meja Bulat RUU 355 anjuran Majlis Tindakan Pilihan Raya Dun
Kerdau adalah untuk memberi kefahaman kepada orang ramai mengenai
cadangan pindaan Akta 355 itu.
Menurutnya, penganjur menjemput masyarakat Cina hadir sama dan
menyediakan seorang penterjemah bahasa Mandarin, Maisyarah Leong
Abdullah.
“Dua ahli panel yang diundang ialah Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas,
Datuk Dr Nik Mohammad Zawawi Saleh dan Mohamad Ibrahim (Mat Cina),”
katanya selepas tamat majlis itu di sini, kelmarin.
Menurut Dr Nik Mohammad Zawawi, undang-undang Islam adalah
undang-undang yang diturunkan ALLAH SWT dan ia tidak memihak kepada
mana-mana kaum tidak seperti undang-undang yang dicipta manusia yang
akan memihak kepada bangsa yang menciptanya.
“Jika undang-undang itu dicipta orang Jepun ia akan memberi kelebihan
kepada kaum Jepun, begitu juga jika undang-undang itu dicipta orang
Melayu ia akan memihak kepada kaum Melayu,” katanya.
Mengenai RUU Akta 355, beliau berkata, ia adalah undang-undang untuk
memperkasakan Mahkamah Syariah sedia ada dan bidang kuasa mahkamah
syariah hanya menghukum penganut beragama Islam sahaja manakala penganut
agama lain tidak tertakluk kepada kuasa mahkamah syariah.
Jelas beliau, Akta 355 tidak melibatkan hukum hudud seperti hukum
potong tangan kepada pencuri, rejam kepada penzina atau hukuman mati
(bunuh balas bunuh) kepada pembunuh.
Sementara itu, Mohamad Ibrahim atau Mat Cina dalam ucapannya menegaskan
Akta 355 bukan isu baharu kerana kewujudannya sejak 1965 lagi dan kali
terakhir dipinda ialah pada 1984 kira-kira 32 tahun lalu.
Menurutnya, akta ini memberi kuasa kepada mahkamah syariah menjatuhkan
hukuman tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan kepada
orang Islam yang melakukan kesalahan yang dibawah kuasa akta berkenaan.
Katanya, pindaaan Akta ini adalah untuk membolehkan Mahkamah Syariah
menjatuhkan hukuman yang lebih hampir kepada syariah Islam kepada
mana-mana pesalah yang beragama Islam sahaja.
Pas, kata beliau, sedia berdialog dan berbincnag dengan siapa sahaja
untuk memberi kefahaman dan penjelasan mengenai Akta berkenaan.
2 orang berkata:
Barulah betul cara ini, beri penjelasan dan penerangan jangan paksa orang terima atau setuju tetapi buatlah biar orang rasa menerima dan bersetuju.
Kalau kita sebagai orang ISLAM patut terima dan setuju dengan RUU355 ni sebabnya ni hukum ISLAM...lainlah klo org tu lain dari islam
Post a Comment