Air pasang besar: Mangsa Kuala Muda meningkat
SUNGAI PETANI - Mangsa banjir akibat fenomena air pasang besar di enam
buah kampung di Kota Kuala Muda yang dipindahkan ke empat pusat
pemindahan meningkat kepada 94 orang daripada 27 keluarga berbanding 85
orang semalam.
Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda,
Leftenan Muda Pertahanan Awam, Azahar Ahmad berkata, pertambahan
bilangan mangsa yang dipindahkan bagaimanapun hanya melibatkan penduduk
kawasan Kampung Sungai Meriam.
"Sehingga jam 4.00 pagi tadi, seramai 21 mangsa daripada enam keluarga
telah dipindahkan berbanding hanya 12 mangsa daripada tiga keluarga,
sewaktu pusat pemindahan di rumah pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Meriam dibuka pada jam 1.30 pagi
semalam.
"Bilangan mangsa di tiga lagi pusat pemindahan iaitu Sekolah Kebangsaan
(SK) Seri Kuala, Dewan Kampung Paya dan Dewan Masjid Haji Yusof Bukit
Kecil kekal seperti sebelum ini," katanya kepada Bernama.
Katanya seramai 29 mangsa daripada 12 keluarga dari Kampung Masjid,
Kampung Ujung Matang dan Kampung Padang Salim masih berada di SK Seri
Kuala.
"Seramai 20 lagi mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Paya juga
masih ditempatkan di Dewan Kampung Paya manakala 24 mangsa daripada lima
keluarga dari Kampung Sungai Yu kini berada di Dewan Masjid Haji Yusof
Bukit Kecil," katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment