Umno akan gagal tanpa disiplin dalam al-Quran
MARANG - Umno akan menjadi sebuah parti politik yang berdepan dengan
kegagalan jika ahli-ahlinya tidak menerapkan disiplin diri serta
nilai-nilai moral tinggi sebagaimana yang dituntut dalam al-Quran.
Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, antara aspek
terpenting terkandung dalam al-Quran adalah perpaduan yang menjadi
tunjang kepada kekuatan ummah.
Beliau yang juga menteri besar berkata, jika tiada semangat perpaduan
tinggi dalam kalangan ahli-ahli Umno, parti itu sudah pasti akan
kehilangan kekuatan yang akhirnya membawa kepada kekalahan dalam
perjuangan.
"Al-Quran banyak tekankan soal perpaduan kerana ia merupakan tunjang
kekuatan ummah. Jika perpaduan kalangan kita lemah, sudah pasti kita
akan kehilangan kekuatan dan akhirnya kita akan kalah," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta ahli-ahli Umno khususnya di negeri
Terengganu supaya sentiasa berpegang teguh kepada petunjuk al-Quran
dalam perjuangan.
"Itulah benteng paling teguh, selagi kita berpegang kepadanya
(al-Quran), kita tidak akan sesat. Sebaliknya kita akan sentiasa kukuh
dan harmoni.
"Perjuangan dalam politik amatlah berat dan penuh dengan dugaan serta
cabaran. Oleh itu kita perlu jaga imej dan pertahankan nilai-nilai moral
dalam parti," katanya.
Sebelum itu, Ahmad Razif merasmikan Majlis Tilawatul Al-Quran dan
Marhaban Peringkat Negeri Terengganu anjuran Wanita Umno Negeri
Terengganu, di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, di sini, hari ini.
Hadir sama isterinya, Halina Zakaria, Ketua Wanita Umno negeri, Datuk
Fatimah Hamat, Ketua Umno Bahagian Marang, A Latiff Awang serta Ketua
Wanita Umno Bahagian Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin.
0 orang berkata:
Post a Comment