Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Pakar: Perlembagaan tak lengkap, tapi harus dikekalkan

May 23, 2011
KUALA LUMPUR, 23 Mei — Perlembagaan negara wajar dikekalkan meskipun undang-undang paling tinggi itu tidak lengkap sepenuhnya manakala Muslim wajar menerima hakikat mereka “perlu tinggal bersama dan berganding dengan bukan Muslim”, kata  pakar perlembagaan Prof Dr A Aziz Bari.

“Mereka tiada pilihan,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa dalam reaksinya berhubung maklum balas pembaca mengenai tulisan terbitan The Malaysian Insider malam tadi.

Katanya, melihat pada komen-komen daripada para pembaca mereka kelihatan tidak gembira dengan pandangan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda manakala kerajaan pula tidak sewajarnya memberi hak-hak secara meluas kepada bukan Muslim, antaranya memegang jawatan dalam kerajaan.

Pandangan itu dilontarkan pada Wacana Membina Negara Sejahtera anjuran Sekretariat Syubban Persatuan Ulama Malaysia, yang antara lain bertujuan menyuntik semangat kepada masyarakat tentang aspirasi dan impian menuju negara Islam.

Pada wacana itu, beberapa pemimpin Islam mempersoalkan kesetiaan bukan Islam di negara ini sambil menggesa hak komuniti itu dinilai semula jika Malaysia benar-benar dianggap sebagai negara Islam.

Dalam pandangannya, bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Datuk Nakhaie Ahmad berkata, kerajaan nampak terlalu bermurah hati kepada kaum-kaum bukan Islam.

“Dalam usaha untuk mendapatkan undi dan sokongan bukan Muslim, kita begitu bermurah hati dalam memberi hak-hak sivil.

“Hak-hak sivil yang diberikan termasuk hak untuk mengundi, penyertaan dalam politik, memegang jawatan, pembabitan dalam ketenteraan dan sebagainya, tetapi kita memberikan mereka segala-galanya,” kata beliau.

Oleh itu, kata beliau, tawaran hak kepada bukan Islam seharusnya berdasarkan amalan-amalan agama Islam.

Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia Zamri Hashim pula berkata, Muslim sewajarnya melihat menjangkaui afiliasi politik demi matlamat perjuangan yang lebih besar.

“Kita mesti melihat di luar (ruang) politik. Agenda Melayu sangat penting untuk (kita) tidak boleh tidak ambil peduli dan majoriti Melayu adalah Muslim. Bukan lagi tentang PAS dan Umno,” kata timbalan mufti Perak ini.

Timbalan presiden Angkatan Belia Islam Malaysia Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali juga menekankan Malaysia tidak harus menjadi negara sekular.

Presiden Hizbut Tahrir Malaysia Abdul Hakim Othman menambah Perlembagaan Persekutuan mesti digantikan kerana ia digunal oleh penjajah British.

Mengulas lanjut mengenai polemik terbaru ini, Aziz menekankan, antara perkara utama beliau bangkitkan pada pertemuan semalam termasuklah keperluan memahami  Perlembagaan Persekutuan dan lupakan gesaan memindanya memandangkan parti-parti alternatif masih boleh memperoleh majoriti  mudah untuk  membentuk kerajaan.

“Pokoknya, masyarakat Muslim perlu tahu apakah keutamaan mereka. Cakap-cakap mahu meminda Perlembagaan hanya akan menakutkan bukan Islam.

“Apa pun mereka tidak boleh berbuat demikian tanpa memperoleh (sokongan) bukan Islam. Pendek kata masyarakat Muslim perlu  praktis,” katanya lagi sambil menjelaskan, persekitaran politik negara ini juga menunjukkan usaha membentuk kerajaan pun adalah sukar dan hanya boleh dilakukan menerusi sokongan bukan Muslim.

Sehubungan itu katanya, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga menghadiri wacana semalam, yang turut mengingatkan hadirin bahawa Muslim mesti belajar daripada pengalaman lama dan tidak seharusnya mencimplak perkara-perkara yang tidak sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia.

“Cendekiawan-cendekiawan zaman lalu menulis perjanjian untuk berurusan dengan masalah mereka ketika era mereka.

“Malah beliau (Asri) juga mengingatkan mereka agar bercakap mengenai isu-isu lebih besar seperti rasuah dan salah guna kuasa yang memberi kesan kepada setiap orang, Muslim dan bukan Muslim,” kata Aziz (gambar) lagi.

Aziz juga berkata, Asri juga menimbulkan isu di mana kerajaan yang memerintah berpandangan bahawa peruntukan projek termasuk yang dijanjikan ketika pilihan raya kecil adalah hak mereka.

“Asri mengingatkan bahawa wang itu adalah milik rakyat yang membayar cukai,” katanya yang dilihat merujuk kepada pengumuman projek-projek oleh BN ketika pilihan raya kecil.

Dalam pada itu, Asri yang dihubungi menjelaskan Perlembagaan Persekutuan tiada masalah walaupun ada “benda yang boleh disemak” supaya selaras dengan prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan diketengahkan Islam.

Malah kata beliau, tiada masalah bagi Muslim dan bukan Muslim untuk berada dalam kerajaan yang sama untuk mentadbir negara ini.

“Cuma pada masa-masa lalu, ketika era dahulu, wujud kesangsian mengenai soal kedudukan bukan Muslim dalam kerajaan dari segi pelaksanaan dan kuasa eksekutif... dulu tiada perlembagaan bertulis dan undang-undang, tetapi kini ia bukan satu masalah,” kata Asri.

“Kini masalah itu sudah tidak wujud, kita ada Perlembagaan (Persekutuan) dan ada undang-undang... kita ada undang-undang dan majlis syura iaitu jemaah menteri di mana ada wakil Islam dan bukan Islam, dan jika ada isu atau masalah, ia dapat dielakkan dengan perbincangan dan keputusan bersama,” kata beliau lagi.

Asri juga menjelaskan, orang ramai perlu menerima hakikat bahawa setiap perlembagaan dan undang-undang yang ada di muka bumi ini digubal olah manusia, bukannya diperturunkan oleh Tuhan.

“Tiada perlembagaan yang datang daripada Tuhan... Nabi Muhammad pun tidak meninggalkan satu bentuk negara (yang lengkap), cuma ketetapan iaitu cara, kerajaan dan pentadbiran yang adil mengikut prinsip-prinsip Islam... keadilan, kesaksamaan dan tidak zalim,” kata beliau.

“Sebaliknya banyak pihak terpengaruh dengan sistem kenegeraan yang diterokai pada zaman sekitar 1,000 tahun lalu.

“Oleh itu, kita kena menerima bahawa kerajaan zaman itu berbeza daripada situasi dan masalah zaman sekarang, lebih-lebih lagi berbeza daripada senario di Malaysia,” kata Asri.

Oleh itu, kata beliau, setiap anggota masyarakat negara ini perlu menerima hakikat tersebut.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.