MKDT fasa baru setelah 3 tahun |
Posted on Sunday, March 04 @ 16:35:34 MYT by paktam
Oleh Dinsman
MALAM itu 25 Februari hujan tak jadi turun di Kulai, Johor, walaupun petangnya langit di atas Surau Taman Muhibah kelihatan agak mendung.
Alhamdulillah, maka teater Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) pun memasuki fasa barunya dengan agak bergaya juga malam itu. Bukan sahaja kerana ia mendapat seorang pelakon baru yang berpengalaman dan sesuai sebagai Kaab bin Malik, iaitu Bob Lokman; dan bukan juga kerana malam itu berbetulan pementasannya yang ke-50. Tetapi ada beberapa faktor lain.
Malam itu pementasan tidak dibuat di dalam surau tetapi dibuat di atas pentas khas yang dibina di laman surau. Tahniah kepada pihak penganjurnya PAS Kawasan Kulai dan Jawatankuasa Surau Taman Muhibah, kerana telah membuat keputusan yang tepat. Kalau ia dibuat di dalam surau tentulah ramai yang akan kecewa tak dapat menontonnya secara ‘live’, kerana surau itu tak mungkin dapat menampung jemaah kira-kira tujuh ratus orang itu.
Bob Lokman pun barangkali tidak menyedari akan fasa baru yang saya maksudkan. Hj Hisham YDP PAS Kulai pun tentu tidak tahu. Tetapi Sani Sudin tahu, dan Zali Safiin yang bertanggungjawab mengenai lampu, sound dan pentas keseluruhannya juga sedar perkembangan baru yang berlaku pada MKDT malam itu.
Bob Lokman sebagai pelakon berpengalaman (melalui media televisyen) menyatakan dia tidak puas hati dengan mutu lakonannya malam itu. Dia boleh menunjukkan lakonan yang lebih baik. Memang! Sebahagian lakonannya dalam sesi latihan memang lebih berkesan.
Tetapi oleh sebab gangguan dan tekanan tak dijangka (bersifat politik) yang diterimanya malam itu, menyebabkan konsentrasi dan penghayatannya jadi sedikit terganggu. Namun, bagi kebanyakan penonton yang baru pertama kali menonton MKDT malam itu, saya percaya mereka tidak menyedari pun kekurangan ini.
Saya bersama Zali yang mengawal kesan pencahayaan, dari sudut belakang pentas, memang teruja dengan beberapa anasir baru yang terjadi. Zali yang tidak tahu beberapa perubahan yang saya lakukan bersama Sani Sudin sewaktu sesi latihan, menjadi lebih teruja melihat kesan cahaya yang dilakukannya sendiri, sesuai dengan beberapa peranan tambahan yang ditampilkan oleh Sani.
Ya! barangkali sewaktu Bob Lokman sedang bergelut melawan tekanan luaran yang mengganggu penghayatannya itu, saya dan Zali pula sedang menghayati kesan-kesan teatrikal yang zahir bersama persembahan Sani yang cemerlang. Memang tidak banyak lirik lagu yang dinyanyikan Sani.
Namun, nyanyiannya di tempat-tempat tertentu itu adalah pancaran dan aliran emosi yang begitu mengharukan dan menyayat perasaan. Dan alunan zikirnya serta rintihan istighfarnya, menggantikan humming dalam persembahan-persembahan sebelum ini, telah mengisi keheningan waktu itu dengan semacam rasa kerinduan hamba kepada Tuhannya. Masya Allah!...
Demikianlah pengalaman peribadi saya sendiri sewaktu menyaksikan pementasan MKDT versi baru yang memasuki fasa barunya malam itu. Secara teknikalnya terasa bahawa itulah persembahan terbaik MKDT dalam sejarah tiga tahunnya. Apakah itu hasil daripada keterujaan saya terhadap beberapa anasir baru yang dieksperimenkan malam itu, atau itu memang benar kesan yang turut dinikmati bersama oleh penonton, saya tidak pasti.
Memang lakonan Bob Lokman dalam adegan Kaab bermunajat dan bertaubat kepada Allah itu, misalnya, kurang berkesan dilakonkannya malam itu berbanding dengan lakonannya sewaktu sesi latihan. Tetapi itu mungkin kesan kepada kami yang menyaksikan latihannya sahaja. Bagi penonton yang hanya menonton malam itu kesannya tentulah berbeza. Misalnya seorang penonton menyatakan kepada saya dia paling terkesan sewaktu pentas hanya disoroti cahaya merah ke atas pelakon yang sedang bermunajat dan bertaubat.
Nah, tentunya penonton itu tidak menyedari apa yang dimaksudkan Bob Lokman bahawa mutu lakonannya kurang memuaskan itu!
Apa pun, bersama Bob Lokman, Sani Sudin dan Zali Safiin saya menyaksikan MKDT sedang memasuki fasanya yang baru, dengan tenaga yang kembali segar untuk “berjihad” di medan seni teater. Saya menyaksikan sebuah karya yang terus hidup dan berkembang. Di tangan Sani Sudin peranan pemuzik itu pun tumbuh menjadi suatu watak yang sungguh unik dan luar biasa, yang tidak pernah terfikir pun oleh saya sewaktu menulis skripnya dulu.
Yang demikian itu Bob Lokman masih lagi dalam proses untuk masuk dan menyebatikan dirinya dalam teater ini. Fasa baru ini masih dalam peringkat proses menyempurnakan kreativitinya.
Dan Bob Lokman berjanji untuk meneruskan lagi latihan, bagi menghidupkan perwatakan Kaab bin Malik itu di dalam gerak lakonnya dalam persembahan-persembahan yang akan datang. Zali Safiin juga sama. Berjanji untuk menyempurnakan lagi rekaan pencahayaan dan kesan teatrikalnya.
Manakala Sani Sudin memang tidak perlu berjanji, kerana saya tahu dia memang sentiasa mencari penghayatan peranannya dalam MKDT. “Ini macam nak jadi muzikal saja ni, tuan,” katanya kepada saya. Ya begitulah, kemungkinannya, MKDT akan menjadi muzikal.
Dan kita juga jangan lupa dengan Sabri Yunus. 6 Mac ini MKDT yang akan dipentaskan di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak, Kaabnya ialah Sabri Yunus. Sewaktu selesai pementasan di Masjid Jamek Mengkuang 12 Februari lalu, dia mencadangkan sedikit perubahan pada aliran cerita MKDT, bagi persembahan seterusnya.
Jawab saya, “Kita sudah hampir tiga tahun dengan MKDT, sudah kira-kira 50 kali pementasan. Kalau terfikir atau tergerak untuk buat sesuatu, mari kita buat. Mari kita bereksperimen.”
Pada 6 Mac ini semestinya segala pembaharuan yang lahir dari pertemuan dengan Bob Lokman itu akan bertemu pula dengan Sabri Yunus. Sani Sudin akan membawa pembaruannya. Zali Safiin akan membawa pembaruannya. Saya akan menyaksikan sesuatu yang baru lagi. Wah, inilah teater!
0 orang berkata:
Post a Comment