Isnin, 26 Mac 2012
Cinta Pada Kaum Tidak Boleh Jadi Ideologi, Akidah
KUALA SELANGOR 26 MAC : Pendekatan persaudaraan yang diamalkan oleh Pakatan Rakyat (Pakatan) akan membolehkannya terus kukuh berbanding dengan Umno-BN yang hanya mengamalkan semangat kebangsaan kaum.
Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang berkata pendekataan persaudaraan itu adalah perbezaan yang paling ketara berbanding apa yang diamalkan oleh Umno-BN.
Katanya, satu kesilapan besar bagi Umno-BN adalah ia mengamalkan semangat perkauman antara parti-parti komponennya seperti Umno, MCA dan MIC.
“Walaupun parti itu sudah memerintah lebih 50 tahun, hasilnya masih banyak masalah yang membebankan rakyat dan tidak boleh mencapai ke tahap negara maju.
“Tidak menjadi masalah jika menyayangi kaum masing-masing tetapi kecintaan pada bangsa tidak boleh jadikan satu ideologi atau akidah hingga boleh mencetuskan hubungan tidak baik antara satu sama lain.
“Mereka hanya mengamalkan saling tidak mempercayai dan tindas menindas antara satu sama lain. Bukan hanya berbagai bangsa tetapi di kalangan satu bangsa juga,” katanya.
Beliau berucap pada rapat rakyat Karnival Terima Kasih Rakyat sempena empat tahun Pakatan Rakyat yang diadakan di Stadium Kuala Selangor, semalam.
Tambahnya, negara boleh dibna dengan hebat sekiranya budaya semua komuniti diadun dengan baik.
“Ini pendekatan Pakatan Rakyat, konsep negara berkebajikan digabungkan dalam Buku Jingga, satukan pelbagai kaum dan taraf hidup serta berjaya melahirkan konsesi Pakatan Rakyat,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment