Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

TUMBANG SELANGOR TUMBANGLAH PR ?


Selangor saksi ‘ibu pertarungan’ PRU13
Posted on Monday, March 26 @ 03:00:00 CDT by paktam
Oleh Abd Shukur Harun

SETIAP pemimpin dan pendukung parti politik sedang menunggu dengan debar tarikh pilihan raya umum ke-13 (PRU13), yang dianggap sebagai ‘ibu segala pilihan raya’ di Malaysia. 

Pakatan Rakyat sendiri diberitakan berunding di peringkat akhir mengenai pembahagian kerusi Parlimen dan Dun, malah ada yang telah menetapkan calon-calon yang akan bertanding, walaupun rundingan masih diteruskan.

Di peringkat negeri dan kawasan persiapan ke arah itu sudah dipertingkat, malah jentera pilihan raya sudah digerakkan sejak dulu lagi.

Ramalan demi ramalan tersebar dan disambut ‘antara percaya dengan tidak’. Tetapi ramalan terkini, ialah pada awal Jun.

Benarkah ramalan ini sekali lagi menimbulkan pelbagai spekulasi. Ada kedengaran rungutan di kalangan ibu bapa yang hendak mengadakan majlis perkahwinan anak mereka pada tarikh tersebut, di mana persiapan beransur-ansur dibuat. Untuk menempah dewan, ada yang khuatir, kiranya tarikh tersebut jatuh pada hari pilihan raya, sedangkan hari semakin suntuk untuk menentukan segalanya.

Untuk mengadakan majlis di rumah, sesetengah mereka, halaman rumah agak sempit. Itulah dilema rakyat biasa.

Bagaimanapun, parti-parti politik sedang bertungkus lumus membuat persiapan. Malah ada bakal calon dikatakan sudah mula ‘rapat’ dengan pengundi di satu-satu kawasan. Mereka begitu ramah dan tidak cukup tangan untuk bersalaman dengan sebanyak mungkin rakyat, terutama selepas solat Jumaat.

Ceramah dan pertemuan dengan rakyat tidak putus-putusnya, dengan jamuan demi jamuan serta pelbagai sumbangan kepada rakyat tidak henti-hentinya. Ini adalah fenomena sementara menjelang pilihan raya.

Apakah pilihan raya benar-benar sebagai ‘Pesta Demokrasi?’ Ini pertanyaan yang menghantar makna yang dalam. Dengan pelbagai sekatan, serta sikap media tradisional yang sedemikian rupa, masalah pemindahan pengundi beramai-ramai, keabsahan senarai daftar pemilih yang masih dipersoalkan, tentu saja makna ‘Pesta Demokrasi’ itu tidak mungkin terpenuhkan.

Kepada Pakatan Rakyat, ada pertanyaan yang boleh dijawab antara ‘ya’ dan ‘tidak’. Pertanyaan itu, antara lain, sudahkah jentera penerangan PAS dan KeADILan sampai semuanya di kawasan pedalaman, yang majoriti pengundinya adalah Melayu?

DAP kebanyakannya bertanding di kawasan bandar dan semi bandar, di mana demografi pengundi berbeza dengan di luar bandar. Secara kebetulan, PAS-lah yang akan banyak bertanding di luar bandar. Oleh itu adakah semua kawasan luar bandar ini - yang diketahui menjadi kubu Umno- BN – sudah diputihkan?

Di Selangor, negeri ‘idaman kalbu’ Umno sejak tewas dalam PRU12 menjadi perhatian ramai orang, termasuk penganalisis politik. Setiap gerak MB, ahli exconya, Adun dan ahli Parlimennya serta pemimpin lain di Selangor menjadi perhatian banyak pihak.

Bagaimanapun saya yakin, jentera penerangan kerajaan Selangor juga jentera penerangan daripada komponen Pakatan Rakyat sendiri sudah bergerak sampai jauh ke kawasan luar bandar seperti di Hulu Selangor, Sabak Bernam, Tanjung Karang, Sepang dan beberapa kawasan pedalaman lagi.

Melihatkan sejumlah besar pemimpin utama Umno-BN tidak henti-hentinya melawat Selangor dengan menaburkan pelbagai janji dan bantuan, sudah tidak menjadi rahsia lagi bahawa Selangor menjadi sasaran utama Umno-BN untuk merampasnya kembali dalam PRU13 nanti.

Selangor yang kaya dan ternama telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam PRU 2008 dulu, menghantar kekecewaan yang tidak ada taranya kepada pemimpin BN. Negeri Selangorlah paling banyak peluang pelaburan, paling banyak insitusi pengajian tinggi, tanah-tanah yang luas sangat berharga.

Di negeri Selangorlah hadir bandar raya besar – Shah Alam, Petaling Jaya, serta bandar-bandar ternama – Damansara, Subang Jaya, Kelana Jaya, Bangi, Sepang dan sebagainya. Ini menyebabkan nilai Negeri Selangor begitu tinggi, menyebabkan Umno- BN merasakan kerugian yang amat sangat kerana negeri itu terlepas kepada Pakatan Rakyat 2008 yang lalu.

Sebab itu, seluruh jentera Pakatan Rakyat sewajarnya digerakkan sepenuhnya untuk mempertahankan Selangor. Dengan strategi dan bacaan politik yang tepat dan caloncalon yang berwibawa, kiranya Pakatan Rakyat mampu mempertahankan negeri itu.

Dalam satu wawancaranya dengan Zulkifly Sulong daripada TV PAS baru-baru ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim menyatakan keyakinan – insya- Allah – Pakatan Rakyat akan dapat mempertahankan Selangor dalam PRU13 nanti.

Ini berdasarkan beberapa andaiannya bahawa penduduk negeri Selangor adalah mereka yang berpendidikan, boleh berfikir, celik IT, mendapat maklumat daripada pelbagai media, khususnya media alternatif, tidak mudah terpedaya dengan propaganda media tradisional.

Beliau juga menyebut mengenai pendapatan rakyat di Selangor terus meningkat, kewangan kerajaan negeri kukuh, program membela rakyat terus-menerus dijalankan dan pentadbiran kerajaan negeri lancar dan efektif.

Sebagai negeri kaya dan ternama, Selangor bukan tidak ada masalah. Isu pasir yang tidak habis-habisnya dibangkitkan oleh musuh Pakatan Rakyat hampir-hampir menenggelamkan isu bayaran air yang amat murah diberikan oleh kerajaan Selangor kepada penduduk negeri.

Negeri itu juga melancarkan program membantu warga emas, membantu fakir miskin dan pelbagai lagi. Ertinya kekayaan negeri Selangor dapat dinikmati oleh rakyat secara merata.

Itu sebabnya, pada pendapat saya, Khalid optimis, Pakatan Rakyat akan dapat mempertahankan negeri kaya ini dalam PRU akan datang.

Saya yakin tumpuan PRU akan datang jauh lebih besar kepada Selangor. Jentera BN dijangka banyak bertumpu di Selangor.

Sebab itu, menurut pendapat saya, Selangor sewajarnya bersama negeri lain menghadapi PRU akan datang.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.