Malapetaka dahsyat bila kerajaan khianati amanah |
Posted on Monday, March 26 @ 23:00:00 CDT by paktam
Oleh LIM HONG SIANG“IA memerlukan lesen untuk menghasilkan sesuatu. Kalau produknya beracun, maka kerajaan tidak akan meluluskan lesen kepadanya. Benda yang diluluskan semestinya tidak akan mengancam kesihatan manusia. Jadi, kerajaan yang menipu kami.”
Demikianlah kata-kata Ng Toong Foo, kontraktor yang bertanggungjawab mengendalikan pembuangan sisa thorium dari kilang nadir bumi Asian Rare Earth di Bukit Merah pada zaman 1980- an.
Malah, dalam wawancara bersama MerdekaReview pada tahun lalu, beliau menyanggah dakwaan pihak kilang bahawa beliau sedar akan bahaya sisa thorium ketika menerima tawaran projek itu. Ng mempersoalkan, "Jikalau kamu tahu benda itu beracun, adakah kamu masih mahu mengangkutnya?"
Maklumlah, tragedi ini berlaku pada zaman 1980-an, dengan tahap pendidikan yang kebanyakannya masih rendah jikalau dibandingkan dengan hari ini. Seseorang rakyat jelata terpaksa menaruh kepercayaan terhadap kerajaannya untuk memutuskan sesuatu di luar lingkungan pengetahuan mereka.
Bayangkan malapetaka yang menimpa sesebuah masyarakat apabila kerajaan mengkhianati rakyatnya – kecacatan bayi dari segi fizikal dan mental sejak dilahirkan, pesakit barah darah dan sebagainya. Kesihatan dan keselamatan tergadai untuk keuntungan siapa?
Namun kita tetap bergantung kepada kepercayaan sesama manusia untuk hidup dalam sesebuah masyarakat, meskipun tahap pendidikan telah meningkat.
Misalnya, kita pergi tengok pertandingan bola dengan andaian bahawa stadium tidak runtuh. Kita menaiki bas dengan andaian bahawa pemandu tidak mengantuk. Mustahil kita menguji setiap titisan susu 1-Malaysia – sama ada ia beracun atau tidak – sebelum ia diminum anak kita.
Namun kita belikan juga susu itu dengan kepercayaan bahawa ia telah diluluskan oleh pakar dalam makmal!
Di sini kepercayaan sesama manusia itu memperlihatkan kepentingannya. Lantas integriti manusia yang memegang amanah, atau ditaruh kepercayaan untuk menjalankan tugasnya itu penting. Kita terus melaporkan penjenayahan kepada polis kerana kita percaya polis tidak bersekongkol dengan penjenayah.
Kita minta dibicarakan di mahkamah kerana kita percaya hakim tidak dibeli bila dibaling dengan guni berisi wang.
Bayangkan, seandainya polis hanyalah kongsi gelap berlesen, semestinya identiti kita akan terdedah, lantas mendedahkan kita kepada risiko diancam oleh penjenayah, sebelum penjenayah diambil tindakan polis.
Bayangkan, seandainya penghakiman dirangka oleh peguam yang kita lawan dalam mahkamah – apakah makna untuk kita berulang-alik ke mahkamah supaya ditakdirkan kalah dalam perbicaraan?
Jadi apabila integriti sesebuah institusi itu ranap, dan tidak diperbetulkan, maka masyarakat itulah yang menerima padahnya.
Bagaimana anak diajar untuk bezakan antara garis hitam dan putih, seandainya polis pun tidak berbeza dengan penjenayah?
Bagaimana kita membimbing anak untuk melakukan sesuatu berlandaskan nilai murni, menegakkan kebenaran – sedangkan institusi mahkamah yang menjadi lambang kepada keadilan itu boleh disogok untuk memutar-belitkan kebenaran?
Sememangnya manusia tidak sempurna. Kita terpaksa akur bahawa adalah realiti apabila munculnya satu dua orang polis yang berkongsi secara gelap (apatah lagi secara terang-terang) untuk perniagaan judi, tatkala pelajar kita berbaris ditangkap kerana berjinak-jinak dengan mesin judi secara haram di bawah tanah.
Dan kita menerima juga realiti jika ada setitik nila yang bakal merosakkan susu sebelanga.
Sememangnya akan muncul seorang dua yang untuk apa sebab pun, gagal menjalankan tugasnya dengan baik, sehingga mengundang kerosakan.
Mungkin untuk itu, prosedure yang sering kali menjadi rungutan ramai itu diwujudkan. Bayangkan, apabila sesebuah kilang mahupun bangunan dibina, ia perlu mendapat kelulusan daripada banyak pihak berkuasa, untuk memastikan bahawa setiap lapisan dan pelosok bangunan itu diteliti secara rapi, dikesahkan keselamatannya sebelum dibenarkan untuk didiami. Mereka yang menurunkan tanda tangan atau cop di setiap peringkat dalam pejabat itu sebenarnya pemegang amanah – untuk memastikan keselamatan awam dilindungi.
Cuba kita kembali kepada kes kelulusan pembinaan kilang nadir bumi. Tidakkah kita terpegun apabila "pengendalian buangan pemprosesan nadir bumi" yang paling mustahak sepanjang proses ini, ditelitikan hanya selepas kilang itu hampir 95% siap dibina - malah hanya diberi perhatian apabila bantahan rakyat semakin bergelora? Jadi wajib untuk kita tanya, apakah asasnya untuk setiap kelulusan yang diberikan sehingga menjurus kepada 95% siap-bina kilang Lynas di Kuantan?
Sekali lagi terbukti bahawa satusatunya pengajaran yang diterima dari sejarah adalah manusia tidak pernah mengambil iktibar daripada sejarah. Kerajaan diberikan mandat, diberi amanah dan ditaruh kepercayaan oleh rakyatnya – kerana kepentingan Lynas mungkin bertentangan dengan kepentingan rakyat. Jika pun berlakunya pengkhianatan kerajaaan terhadap amanah ini, ia bakal didedahkan media, dibicarakan di mahkamah dan akhirnya ditegakkan kebenaran.
Namun, seandainya kesemua institusi tersebut bersekongkol untuk kepentingan bersama, ertinya sistem semak-imbang dalam masyarakat terjejas. Untuk itu, apakah kita masih memberi kepercayaan terhadap kerajaan yang mengkhianati amanah rakyat, malah kini merayu untuk mendapat majoriti dua pertiga dalam Parlimen?
0 orang berkata:
Post a Comment