Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz
 
KUALA LUMPUR - “Semua pemimpin Pas layak menggantikan Tok guru, terutama dari kalangan ulama. Namun, isu pengganti Tok Guru tidak timbul kerana masih belum tiba masanya dan ia tidak dibincangkan lagi,” kata Naib Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Hasan Ali agar Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan jawatan dengan menyerahkan tugasnya itu kepada timbalannya, Datuk Dr Haron Din.


Nik Abduh berkata, isu Hasan telah dijawab Ketuanya, Nasrudin Hassan bahawa kedudukan atau jawatan dalam parti adalah hak mereka yang masih menjadi ahli Pas dan bukannya orang luar seperti Hasan.


Menurutnya, Hasan tidak berhak membuat kenyataan tersebut kerana kepimpinan dalam parti adalah urusan parti.


“Parti sudah buat keputusan berkaitan isu Hasan dan ia sebagai sambungan isu yang telah kita jawab sebelum ini,” katanya di sidang media hari ini.


Apabila ditanya mengenai komen dari Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad baru-baru ini yang mendakwa Pas lari dari perjuangan asal, beliau menjawab bahawa Pemuda Pas menghormati komen dari bekas ahli Parlimen Sik itu.

“Kita yakin hubungan kita dengan DAP selagi ia dapat menguntungkan Islam dan semua pihak, ini adalah keputusan yang benar dan syura menegaskan perkara itu. Kita yakin hubungan dengan DAP adalah hubungan yang masih baik walaupun mendapat tentangan hudud,” katanya.


Sementara itu, Naib ketua II, Dr Raja Ahmad Iskandar berkata, hubungan antara DAP tiada masalah memandangkan percanggahan pendapat hanya melalui pandangan sahaja.


“Kenyataan yang dikeluarkan DAP hanya tidak menyokong tetapi mereka tidak pernah menggunakan kuasa untuk menghalang pelaksanaan hudud seperti yang dilakukan oleh Umno sejak dari dulu,” katanya.



Katanya lagi, belum ada fakta yang membuktikan DAP menghalang pelaksanaan hudud dari segi kekuasaan.