Tiada perbicaraan di Perancis berhubung Scorpene, kata pendakwa terkemuka Perancis
October 08, 2012
KUALA LUMPUR, 8 Okt — Seorang pendakwa kerajaan Perancis yang
terkenal menafikan laporan-laporan media yang tersebar di kalangan
beberapa portal berita online Malaysia berhubung perbicaraan yang sedang
berlangsung di Perancis, mengenai dakwaan rasuah oleh sebuah syarikat
Perancis berhubung pembelian dua kapal selam Scorpene buatan Perancis
oleh Malaysia pada tahun 2002.
Yves Charpenel berkata media di Malaysia harus dapat membezakan
antara khabar angin dan fakta dan antara siasatan dan perbicaraan.
“Saya sedar mengenai semua kekecohan yang dibangkitkan media tertentu
(organisasi) di Malaysia berhubung perkara ini tapi apa yang saya boleh
kata ini adalah tidak lebih daripada satu perbicaraan oleh media,”
katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Charpenel, yang juga bekas ketua pendakwaan di Perancis dan kini
seorang pendakwa negeri dan anggota eksekutif Persatuan Pihak Berkuasa
Anti-Rasuah Antarabangsa (IAACA), berada di sini untuk menghadiri
persidangan dan mesyuarat agung tahunan IAACA yang berakhir semalam.
Berikutan satu aduan Suaram, sebuah badan bukan kerajaan (NGO)
mengenai hak asasi manusia, yang difailkan pada 2009 mengenai sebuah
syarikat Perancis yang didakwa memberi rasuah kepada sebuah firma
Malaysia untuk urus niaga kapal selam itu, beliau mendedahkan bahawa dua
“hakim siasatan” bebas memulakan siasatan mereka awal tahun ini.
Charpenel berkata di Perancis, seperti negara-negara yang mengamalkan
kedaulatan undang-undang, semua siasatan dibuat sepenuhnya secara
rahsia.
Beliau berkata adalah hak bagi sesiapapun untuk memfailkan aduan dan
berikutan sifat rahsia siasatan itu, sesetengahnya beralih untuk mengadu
kepada media.
Beliau menjelaskan bahawa untuk kes-kes tertentu di Perancis,
Kementerian Keadilan akan meminta seorang hakim bebas, meminta “hakim
siasatan” untuk menyiasat.
“Dia hanya seorang penyiasat. Ini adalah sistem lama yang bermula
sejak era Napolean. Jika hakim siasatan mahu seseorang pergi ke
Malaysia, dia perlu memohon dengan kerajaan anda kerana kami ada apa
yang dipanggil Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama. Kerajaan Malaysia
boleh kata ‘ya’ atau ‘tidak’. Ia perlu diputuskan oleh pihak berkuasa
Malaysia.
“Seorang hakim siasatan Perancis tidak boleh membawa bagasinya,
menaiki kapal terbang dan pergi ke Malaysia dan meminta seseorang
menjawab soalan-soalannya. Ini adalah mustahil, ianya bertentangan
dengan undang-undang Perancis dan ia juga bertentangan dengan
undang-undang antarabangsa,” kata Charpenel.
Beliau menjelaskan di Perancis, seperti di tempat-tempat lain, perjalanan undang-undang tidak boleh ditentukan oleh media.
Seperti yang dikatakannya, “Di Perancis, masa keadilan berbeza
daripada masa media. Sudah tentu, media perlu data-data, maklumat,
berita. Ia adalah semulajadi tetapi siasatan itu agak berbeza. Ia adalah
sama, sama ada di Perancis atau di Malaysia.
“Dan ia menjadi rahsia. Kami kini dalam langkah pertama, mungkin,
kami dapat satu lagi langkah, mungkin tidak, dan ia adalah terlalu awal
untuk bercakap lagi.
Ditanya mengenai laporan media bahawa peguam-peguam Perancis yang
mewakili Suaram dalam saman itu akan datang ke Malaysia untuk memberi
taklimat kepada anak guamnya, Charpenel berkata mana-mana peguam dari
mana-mana negara, bebas untuk berbuat demikian kerana dia dibayar oleh
anak guamnya.
“Dia bebas bercakap dengan media, itu adalah kebebasan atau hak asasi
manusia. Tetapi dia bukan seorang pendakwa. Dia juga bukan seorang
hakim siasatan. Dia bukan seorang pegawai.”
Pada April tahun ini, ahli-ahli politik pembangkang tempatan di sini
malah telah meminta pegawai Malaysia untuk memberi keterangan di Paris
atau berdepan pemulauan dalam Kesatuan Eropah.
“Perbicaraan adalah satu perbicaraan dengan semua peraturan. Siasatan
adalah adalah satu perkara lain,” kata Charpenel mengenai maklumat
salah yang dijana oleh portal-portal berita tertentu berhubung dakwaan
bahawa satu perbicaraan sudahpun berjalan.
Sabtu lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
berkata Ketua Audit Negara menjelaskan urus niaga Scorpene dijalankan
mengikut prosedur perundangan. — Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment