Shuhaimi Shafiei
Shuhaimi Shafiei
SHAH ALAM – Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei mengakui kenyataan berhubung 20 pimpinan kanan dan anggota PKR yang berpotensi bakal dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) hanya pandangan peribadi beliau.

Menurutnya, beliau hanya menjawab dan berkongsi pandangan berasaskan soalan yang dikemukakan oleh wartawan Sinar Harian ‘siapa agaknya daripada PKR yang boleh diangkat sebagai menteri sekiranya PR menang PRU13’.


Oleh itu katanya, beliau menyeru semua pihak membaca kenyataan beliau dengan hati terbuka, berlapang dada dan berfikiran matang kerana itu hanya pandangan biasa.

 “Ya, itu pandangan peribadi saya, memang betul. Siapa saya hendak menentukan kabinet, tetapi tiada salah (kenyataan itu) melainkan ada pihak membacanya dari sudut yang salah.

“Soal penentuan kabinet akan ditentukan di peringkat majlis presiden, kalau setakat satu dua pandangan daripada mereka yang bukan di peringkat majlis presiden, ia tidak beri kesan apa-apa melainkan ada pihak tidak membaca kenyataan itu sepenuhnya,” katanya.


Beliau berkata, seandainya 20 orang daripada PKR menteri dan timbalan sekalipun, ia adalah jumlah biasa kerana jumlah keseluruhan menteri dan timbalan termasuk di Jabatan Perdana Menteri yang ada hari ini melebihi 70 orang.


“Ini pandangan saya, kalau sekiranya 20 orang itu iaitu sembilan menteri dan 11 timbalan menteri daripada PKR sekalipun. Itu masih lagi boleh demand. Jumlah itu bukan terlalu tinggi, munasabah, malah boleh dipertimbangkan,”