Bekas Mufti Johor: 'Militan Filipina juang ikut nafsu'
21 Mac 2013
LAHAD DATU - Tindakan pengganas militan dari selatan Filipina
menceroboh Sabah hanya mengikut nafsu dan berkepentingan peribadi,
bukannya atas kepentingan agama Islam.
Bekas Mufti Negeri Johor yang juga Penasihat Majlis Agama Islam Negeri
Johor Datuk Nooh Gadut berkata tindakan mereka itu tidak membawa
sebarang makna dan tersasar daripada landasan Islam.
"Mereka berjuang ikut hawa nafsu, taksub, ikut syaitan, ada kepentingan
peribadi dan bukan kepentingan agama serta menyelamatkan negara,"
katanya kepada Bernama di Dewan Cenderawasih Felda Sahabat hari ini.
Beliau mengetuai rombongan Majlis Penyelaras Gabungan Persatuan Bukan
Kerajaan Melayu Johor bagi menghantar sumbangan kepada penduduk kampung
yang ditempatkan di dewan itu serta mereka yang tinggal di tiga lagi
dewan iaitu Fajar Harapan, Embara Budi dan Gemala Pura.
Pengganas militan itu melakukan pencerobohan di Kampung Tanduo pada 12
Feb kononnya berjuang untuk mendapat hak mereka di Sabah.
Nooh berkata perjuangan kumpulan pengganas itu jauh sekali untuk agama
dan negara mereka, malah bertindak tanpa perikemanusiaan selain
menggugat keamanan umat Islam lain di negara ini, terutama di kawasan
Lahad Datu.
"Dalam peperangan Islam, kalau membunuh seseorang musuh diharamkan
mayat mereka diapa-apakan sebagai menghormati mayat musuh," kata Nooh,
yang juga Anggota Majlis Diraja Johor.
Beliau menyifatkan tindakan pencerobohan oleh pengganas militan itu
tidak mengikut lunas kemanusiaan, tuntutan dan budaya Islam serta
undang-undang antarabangsa.
"Keputusan dan tindakan kerajaan memerangi pengganas militan ini untuk
melindungi nyawa umat Islam di negara ini adalah sesuai dan wajib
dilakukan atas tuntutan Islam. Ia bagi memastikan keamanan dan
kedaulatan negara terus dijaga," katanya.
Mengulas misi kemanusiaan itu, Nooh yang menjadi penasihat majlis
gabungan membabitkan 360 persatuan bukan kerajaan Melayu Johor, berkata
ia dibuat atas keprihatinan rakyat negeri itu terhadap mereka yang
terjejas akibat tindakan pengganas militan dan anggota pasukan
keselamatan yang terkorban.
Beliau berkata tabung itu berjaya mengutip sumbangan berjumlah
RM140,000 dan mengumpul pakaian terpakai untuk diagih kepada penduduk
kampung yang dipindahkan ke pusat pemindahan.
Selain bantuan barangan keperluan dan kewangan kepada penduduk kampung
itu, Nooh bersama rombongan melaksanakan pendekatan kerohanian dengan
melakukan tazkirah, tahlil serta sembahyang hajat di Dewan Fajar
Harapan. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment