06 Januari, 2014
Kisah Menyayat Hati Di Hari Pertama Persekolahan.. Saksikanlah
Pagi – pagi saya terima whatsapp gambar ini dari adinda saya. Ni gambar
duit yuran seorang pelajar yang masuk mendaftar ke sekolah semalam di
Kuala Lumpur. Datuknya membawa punjut duit syiling yang bernilai
RM64.00.
Itu pun tak cukup untuk membayar yuran sekolah tersebut. Guru – guru ‘
topup’ untuk pelajar tersebut. Pelajar ini, kematian ibu sedari umurnya
sebulan lagi. Bapa dipenjara kerana masalah dadah.
Nenek bekerja sebagai cleaner dan akan tamat kontrak
pada bulan Jun nanti. Datuknya sudah tidak berdaya untuk bekerja dan
menerima bantuan PERKESO RM350.00. Berapalah sangat RM350.00 hidup di
bandaraya Kuala Lumpur ini.
Bayangkan, semua orang menunggu untuk guru mengira jumlah duit syiling
yang di bawa oleh datuk tersebut. Kasih seorang datuk untuk
menyekolahkan anak ini. Semasa menulis cerita ini, saya beberapa kali
terbabas kerana sebak.
Dalam dunia semakin pantas ini, di ibu kota ini, masih ada golongan yang
dikategorikan sebagai miskin tegar. Keluarga ini, sudah memohon
beberapa kali bantuan zakat, namun kerana kerenah birokrasi , bantuan
tidak disalurkan kepada mereka.
Mungkin inilah sepatutnya tugas wakil rakyat atau pemimpin masyarakat.
Mencari mereka yang terpinggir ini. Selalunya golongan ini, tidak akan
meminta – minta untuk menagih simpati ramai. Malah mungkin hidup mereka
lebih bahagia dengan jumlah wang yang sedikit tetapi dimanfaatkan
sepenuhnya.
Sebenarnya, inilah ladang pahala untuk kita yang setiap hari membazir.
Membazir makanan, membazir pakaian, membazir masa dan sebagainya. Kisah
anak ini, mungkin ada juga di tempat lain.
Cuma kita sahaja yang belum mencarinya. Saya juga ditunjukkan gambar anak – anak ini.
Comel – comel dan gembira sahaja rupanya. Seronok hendak ke sekolah
seperti orang lain juga. Namun bajunya tak serupa orang lain.
Kekuningan, besar dan lusuh, mungkin juga pemberian orang lain.
Gambar ini disebar bukan untuk menagih simpati.
Gurunya yang sebar di kalangan rakan – rakan kami sahaja kerana sudah
tidak tertahan lagi melihat kepayahan hidup yang anak ini bakal tempuhi.
Mana tak sebak, belum pernah dalam sejarah sekolah, mengira duit syiling yang belum tentu cukup untuk dijadikan yuran sekolah.
Akhir kalam, duit gaji atau bonus yang kita terima, sedekahlah kepada
golongan seperti ini, kerana di dalam duit gaji kita, pasti ada hak
orang lain.
Pengajaran juga buat saya, agar tidak mewahkan anak – anak, mana tahu
ada rakan – rakan yang tidak bernasib baik. Pasti hati kecil mereka sayu
dan tersentuh hati, mereka tidak semewah anak – anak lain.
Tiada ipad, tiada tv mungkin, tablet pc jauh sekali. Mungkin pegang komputer hanya di sekolah.
Cerita ini bukan rekaan. Berlaku di sebuah sekolah rendah agama di Kuala Lumpur pada Januari 2014.
Alhamdulillah, masih ada yang berhati mulia untuk membantu. Jika ada
sebarang pertanyaan dan masalah, sila ajukan kepada saya atau komen di
bawah.
Yuran Sekolah Dari Duit Syiling
Alhamdulillah, rupanya masih ramai yang prihatin.
Saya menerima banyak pertanyaan , bagaimana nak salurkan bantuan.
Saya pun tidak sangka, entri tentang yuran duit syiling sebagai muhasabah diri mendapat perhatian pembaca.
Memang, kalau diikutkan, hidup di bandar besar , kosnya sangat tinggi hingga wujud istilah miskin bandar.
Kalau di kampung, macam saya di Sabak Bernam, boleh lagi bercucuk tanam, ikan masih boleh di pancing di parit atau sungai.
Sekurang – kurangnya, wang yang ada hanya digunakan untuk membeli garam
dan gula. Namun harga barang yang meningkat menyebabkan kebanyakan yang
hidup biasa – biasa ini yang paling terkesan.
“Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar
terhadapnya, Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah
engkau tengking herdik; Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau
sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” (Adh-Dhuha:
9-11)
Di sini saya update sedikit cerita pelajar berkenaan.
Menurut ustazah Khadijah bt. Alang Abu Shuker (guru pelajar
tersebut),terdapat 2 orang pelajar yang dirasakan perlu dibantu, iaitu
Nurkhatijah bt. Abdullah dan Norsyafiqah bt.Abdul Rahim.
Kedua- duanya anak yatim. Seorang tiada emak dan seorang lagi tiada
bapa. Boleh berhubung terus dengan ustazah Khadijah untuk maklumat dan
bantuan. Nombor telefon bimbit ustazah:017-3078400.
Sekadar renungan, Rasulullah s.a.w. sangat memuliakan anak yatim dan
suka menggembirakan mereka. Lantaran Baginda s.a.w. juga seorang anak
yatim. Jadi apalah salahnya, kalau sumbangan yang kita berikan dapat
menggembirakan mereka, memberikan motivasi untuk mereka ke sekolah.
Allah s.w.t. melarang manusia berbuat zalim terhadap anak yatim. Malah,
seseorang yang berlaku zalim, tidak menjaga hak dan memberi makan anak
yatim dianggap sebagai mendustakan agama. ALLAH subhanahu wata’ala
berfirman dalam surah al-Ma`uun ayat 1-3:
Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama?
Itulah orang yang mengherdik anak yatim
dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.
Berbahagialah ibu dan nenek adik – adik tadi, gurunya dan orang yang
membantu mereka sesuai dengan hadith di bawah kerana anak – anak ini
bakal menjadi penghalang api neraka kelak.
“Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya,
lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi
penghalang baginya daripada api neraka”.
Daripada Abu Ummah diceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah
SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang
diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan
dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini,
Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan
jari tengahnya.” (Hadis riwayat Ahmad)
Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Orang yang memelihara anak yatim dalam kalangan umat Muslimin,
memberinya makan dan minum, pasti Allah SWT akan masukkan ke dalam
syurga, kecuali ia melakukan dosa yang tidak boleh diampun.” (Hadis
riwayat Tirmidzi)
Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
“Katakanlah, sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang
dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (sesiapa
yang dikehendaki-Nya)’, dan apa saja yang kamu infakkan, maka Allah
akan menggantikannya dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.”
(Surah Saba ayat 39).
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada suatu pagi yang dilalui oleh seorang hamba kecuali dua
malaikat turun. Satu daripadanya berkata: Ya Allah, berilah ganti orang
yang berinfak (dermawan). Malaikat yang satu lagi berkata: Ya Allah,
berilah kehancuran bagi orang yang kedekut.” (Hadis riwayat Bukhari,
Muslim dan Ahmad dari Abu Hurairah).
Terima kasih kepada semua dermawan. Hanya Allah s.w.t yang mampu membalas jasa kalian .
Jazakallah hukhairan kathira.
~zunairahghani.blogspot



0 orang berkata:
Post a Comment