• Husam Musa Husam Musa
1 / 1
PUTRAJAYA - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menyatakan tempoh selepas PRU adalah masa yang sesuai untuk membincangkan mengenai pelaksanaan hukum hudud.

Menurutnya, Pas telah mempunyai masa yang sesuai untuk berbincang dan merangka pelaksanaan hukum hudud di Kelantan seperti yang dirancangkan itu.


Beliau juga berkata, semasa pilihan raya isu hudud tidak perlu berkempen isu tersebut sehingga mengelirukan pengundi.


"Saya tak suka perbahasan pelaksanaan hudud ini semasa pilihan raya, semasa pilihan raya bukan masa untuk bercerita isu pelaksanaan hudud, jangan kelirukan pengundi dengan isu hudud.


"Tapi lepas pilihan raya inilah masanya, masa kempen pilihan raya jangan cakap mengenai isu ini, banyak lagi isu kenegaraan, isu masyarakat, isu negara yang lebih penting pada waktu tersebut,


"...lebih tepat masanya, sekarang pilihan raya dah berakhir ini masanya kita duduk kita buat persediaan dan menghayati atau menyelesaikan isu ini," katanya pada sidang media yang diadakan selepas program Sempena Minum Petang dan Bicara Santai Putrajaya Bersamanya, hari ini, di sini.


Sebelum ini media melaporkan, Pas di Kelantan seolah-olah sukar melaksanakan hukum hudud di Kelantan walaupun pernah bertegas untuk melaksanakannya di negeri itu.


Dalam pada itu, Husam yang juga Adun Salor itu berkata, Pas tidak akan  menjadi modal politik BN apabila berjaya merangka dasar untuk melaksanakan hukum hudud di negeri jajahan parti tersebut.


"Saya selaku peribadi saya masuk Pas sebab nak lihat hudud dilaksanakan dan isu pelaksanaan hudud ini akan terus menjadi modal politik Umno melalui pilihan raya, kecuali Kelantan pejam mata buat persediaan sepenuhnya untuk laksanakan, bila kerajaan Kelantan laksanakan saya yakin kerajaan Pusat akan hentikan.


"Bila kerajaan Pusat sudah hentikan jadi benda itu akan jadi jelas, bahawa yang halang perlaksanaan ini adalah kerajaan Pusat, kalau tidak Pas sentiasa akan jadi mangsa politik," katanya lagi.


Beliau juga berkata  kerajaan BN yang memperjuangkan kalimah ALLAH juga perlu mengutamakan pelaksanaan hudud.


"Yang kita hairan Umno ini kalimah ALLAH ini dia tak mahu (orang bukan Islam) guna tapi hukum ALLAH pun dia tak pernah buat, jd macam mana ini Umno kalau dia pro-ALLAH, hukum ALLAH itu yang pertama dia kena junjung.


"...kalimah ALLAH kita serah kepada alim ulama untuk bincang jangan orang politik tak tahu benda apa masuk campur tak tentu fasal dalam isu ini," katanya.