• Ahmad Yakob Ahmad Yakob
1 / 1
SHAH ALAM - Kerajaan negeri Kelantan tidak pernah menolak bantuan oleh mana-mana sukarelawan dalam melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke atas mangsa-mangsa bencana banjir di negeri tersebut.

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, Kelantan sentiasa memerlukan dan mengalu-alukan bantuan mana-mana sukarelawan tidak kira dari dalam atau luar negara.

“Semalam, warga Bangladesh ada datang membantu kita dalam gotong-royong perdana. Sebelum ini para sukarelawan dari Palestin, Thailand dan Singapura turut bantu beri bekalan makanan dan pakaian disamping melakukan misi membersihkan rumah ke rumah.

“Saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan atau bertindak meminta mereka (sukarelawan) keluar dari Kelantan kerana menyusahkan urusan penghantaran bekalan,” katanya menerusi sebuah kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, kesemua pihak seharusnya bertumpu kepada usaha pemulihan kehidupan mangsa-mangsa banjir di negeri itu.

“Jauhilah fitnah dan khabar angin yang hanya menambahkan saham dosa dalam diari amal kita, sebaliknya tumpulah kepada mencari alternatif bagi meringankan beban seluruh mangsa banjir.

“Saya yang diberi amanah menaungi rakyat Kelantan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan pelbagai bentuk bantuan serta bekalan kepada semua mangsa-mangsa banjir di Negeri ini. Pengorbanan masa, tenaga bahkan jiwa raga tidak akan dilupakan,” katanya lagi.

Kelantan adalah negeri yang menerima impak paling ketara dalam bencana banjir besar pada Disember lepas.

Daripada jumlah 90, 250, Kelantan mencatat jumlah mangsa banjir paling tinggi melibatkan 32,343 orang, diikuti Terengganu (28,991), Pahang (24,316), Perak (4,335) dan Perlis (265).

Antara jajahan yang teruk terjejas termasuk Tanah Merah dan Kota Bharu, Gua Musang, Jeli, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tumpat.

Beliau dalam pada itu turut menyeru kepada mana-mana pihak yang ingin menyumbang bantuan kepada mangsa banjir menerusi Tabung Amanah Bencana Banjir Negeri Kelantan, melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad : 03018010080024 atas nama penerima: Tetuan Perbendaharaan Negeri Kelantan.