• Mohamad Sabu (tengah) pada sidang media di Pejabat Agung Pas, di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN Mohamad Sabu (tengah) pada sidang media di Pejabat Agung Pas, di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN
1 / 1
KUALA LUMPUR – Pas tidak akan mempertahankan mana-mana pemimpin parti itu yang didapati menyeleweng dan mempunyai kekayaan luar biasa dengan cara salah, demikian kata Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Beliau juga mencabar mana-mana pihak supaya mengemukakan bukti tentang penyalahgunaan pemimpin Pas itu jika perkata mempunyai asasnya.

"Kami tidak akan membela mana-mana pemimpin Pas yang menyeleweng.

“Buktikan, sila buktikan, kemukakan dan ini (dakwaan) kali pertama saya dengar," katanya secara ringkas di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pendedahan Presiden NGO Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao hari ini yang mendakwa pemimpin Pas di Kelantan mempunyai kekayaan luar biasa di selatan Thailand.

Menurut Ramesh lagi, kekayaan tersebut mempunyai kaitan dengan skandal pembalakan di negeri itu dan ia disembunyikan di negara jiran seperti Yala, Songkla, Pattani dan Kemboja.

Sementara itu, Mohamad atau Mat Sabu berkata pihaknya akan berbincang mengenai cadangan DAP untuk menubuhkan jawatankuasa bertindak antara BN dan PR bagi menangani masalah banjir besar pada mesyuarat Majlis Pimpinan PR akan datang.

"Kita akan bincang dalam majlis presiden, pada bila-bila masa saja," katanya lagi.